Tampak tenang, Fattah Amin menang lumba lari dengan Nabil Ahmad - Utusan Malaysia

Tampak tenang, Fattah Amin menang lumba lari dengan Nabil Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di saat berdepan dengan isu keruntuhan rumah tangga, pelakon dan penyanyi, Fattah Amin tampil mencuri perhatian ramai selepas melihat aksinya lumba lari bersama penyampai radio, Nabil Ahmad.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram, Fattah telah menyahut cabaran pengikut media sosial stesen radio ERA untuk berlumba lari bersama Nabil sejauh dua kilometer di sekitar Pusat Penyiaran Asia Astro Bukit Jalil.

Dalam perkongsian tersebut, Fattah kelihatan tenang memenuhi permintaan itu meskipun dirinya kini masih dalam fasa untuk memulihkan diri selepas bercerai dengan bekas isterinya, Nur Fazura.

Menurut Pengurus Saluran Era, Azah Sahrin, permintaan tersebut juga telah diketengahkan kepada pihak pengurusan Fattah sebelum pelakon itu bersetuju untuk menyahut cabaran tersebut.

“Sebelum acara bermula, Fattah hadir ke konti 3 Pagi Era berkongsi kempen terbarunya Tabik Wira Kita hasil kerjasama dengan Kementerian Pertahanan.

“Kempen ini dilaksanakan menerusi media sosial sahaja melibatkan lebih 20 selebriti termasuk Fattah Amin.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada parajurit negara yang menjaga keamanan negara agar rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” kata Azah.

Dalam pada itu, Azah turut menyatakan larian tersebut telah dimenangi oleh pelakon drama Lelaki Melayu Terakhir itu sekaligus berjaya bawa hadiah wang tunai berjumlah seribu ringgit.

“Hadiah yang disediakan itu adalah secara spontan ketika Fattah menjadi tetamu undangan di konti radio 3 Pagi ERA.

“Ia hasil sumbangan sepenuhnya daripada Azad Jasmin yang mahukan mereka bersungguh-sungguh berlari untuk capai kemenangan.

“Apa-apa pun, acara seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang demi pendengar ERA yang tidak henti-henti menyokong stesen radio kami,” jelas Azah lagi.

Pada Isnin lalu, Fattah telah sah bercerai dengan aktres, Nur Fazura dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.

Untuk rekod, pasangan itu pernah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN