KUALA LUMPUR : Pelakon, Keith Foo, 41, mengakui, sejak menjalin hubungan cinta dengan aktres Riena Diana, dia sering mendengar ceramah agama bagi menambah ilmu baharu yang disifatkan dapat memberi bermanfaat kepada dirinya.
Bagi Keith, usaha itu dilakukan seiring dengan hasrat untuk memperbaiki diri selain menganggap tidak salah untuk dia mendalami sesuatu ilmu yang berlainan dengan agama asalnya.
“Perkara yang baik tidak salah untuk dipelajari, kita semua boleh belajar sesuatu dari agama lain. Ambil ilmu yang baik biarpun agama berlainan.
“Mendengar ceramah boleh menambahkan ilmu saya untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik. Kalau ia positif, saya akan ambil,”katanya.
Keith berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama Salju Rindu Di Bumi Auckland yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
Dalam pada itu, Keith menjelaskan, dia juga sering merujuk dan bertanya kepada Riena berkaitan hal agama seperti amalan bersedekah dan sebagainya.
“Iya betul (bersedekah). Ada kala saya kurang faham, saya akan bertanya kepada Riena.
“Contoh, ketika sambutan Maulidurasul, saya tanya Riena apa yang boleh buat untuk tambah pahala, dia kata mungkin boleh bersedekah.
“Setidaknya secara tidak langsung, dapat membantu golongan yang memerlukan. Sudah pasti saya seronok melakukan hal itu,”katanya.
Dalam pada itu, ketika dtanya sama ada wujud kebimbangan sekiranya dia terlalu terbuka berkongsi kemesraan dengan Riena di media sosial, aktor itu mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan komen negatif netizen.
“Saya tidak kisah fasal negativiti kerana negativiti bukan boleh berlaku dalam hubungan sahaja, tetapi boleh wujud apa jua keadaan.
“Kalau ada yang bercakap negatif saya tidak ambil kisah tetapi yang beri komen positif ambil sebagai pengajaran.
“Bukan urusan saya untuk halang apa orang luar cakap, saya tiada hak untuk tentukan hidup mereka,”ujarnya.