KUALA LUMPUR : Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman, menepis pandangan pengarah dan penerbit, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mendakwa pengurusan Finas sejak dua tahun ini gagal mempamerkan sebarang peningkatan dan pembangunan dalam industri kreatif.
Menurut Kamil, Finas tidak perlu rancak mencanang segala mekanisme perubahan yang ingin dilakukan sehinggalah kejayaan terbukti dengan sendirinya.
“Finas adalah sebuah perbadanan yang sudah berusia 43 tahun. Mana-mana Ketua Pengarah atau Pengerusi yang masuk, semuanya mempunyai masa terhad untuk buat kerja. Macam saya, baru dua tahun.
“Jadi saya tak setuju jika ada yang komen Finas ini macam tak bergerak.Apa yang kita mahu gerakkan sekarang bukan yang orang nampak. Kita gerakkan dasar untuk mengubah akta Finas yang mana semua masyarakat umum tidak tahu.
“Kalau sesebuah negara maju, bukan maknanya semua boleh nampak perubahan bukan? Saya fikir, Finas tak perlu mencanang gerak kerja yang dilakukan. Sudah sukses, kita boleh nampak buktinya,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahmad Idham sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas mengkritik pengurusan Finas dengan menyifatkan tiada pembaharuan dan peningkatan berlaku dalam industri kreatif sejak diambil alih oleh tampuk pimpinan baharu.
Selain itu, Ahmad Idham juga menyebut mengenai Finas yang dikatakan tidak agresif dalam memastikan Skim Wajib Tayang terpelihara tanpa wujud pelanggaran dalam sistem.
Selain itu, jelas Kamil, pihaknya juga berasa hairan mengapa ada pihak membuat komen sedemikian.
“Adakah kita betul-betul tanya orang industri sama ada wujud tak perubahan di Finas sekarang? Berapa banyak filem yang sudah menang anugerah sekarang? Mungkin maksud Idham, perubahan itu tidak berlaku terhadap filem genre dia.
“Kita sepatutnya bekerjasama, dia tidak boleh cakap seolah-olah Finas tidak bergerak langsung.Semasa dia pegang jawatan dulu di Finas pun saya boleh persoalkan juga, tetapi saya tak buat begitu.
“Tak mengapalah, saya tidak tersinggung pun dengan kata-kata dia. Esok-esok. Fakta akan terbukti dengan sendirinya,”katanya.