Sebaris Macklemore, Ella bakal beraksi di Moto GP - Utusan Malaysia

Sebaris Macklemore, Ella bakal beraksi di Moto GP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Ratu Rock tanah air, Ella, bakal memeriahkan konsert After Race Fest yang akan menyaksikannya berada sebaris dengan artis antarabangsa, Macklemore dan Smash Mouth yang turut diundang mengadakan persembahan di pentas yang sama.

Diadakan di Helipad, Litar Antarabangsa Petronas, Sepang pada 3 November, konsert yang signifikan dengan penganjuran Moto GPTM tersebut turut membariskan artis lain seperti kumpulan Nidji dan Feel Koplo.

Tidak cuma itu, kumpulan tempatan lain yang turut terlibat sama ialah De Fam dan 6ixth Sense.

Menurut Ella dalam satu kenyataan, dia teruja untuk membuat persembahan tersebut selain menyifatkan satu penghormatan berpeluang beraksi dan berkongsi pentas dengan artis antarabangsa lain.

“Menjadi sebuah penghormatan untuk saya diberikan tanggungjawab menyanyikan lagu Negaraku pada acara MotoGPTM esok.

“Malah, selepas itu saya akan berkongsi pentas bersama Smash Mouth dan Macklemore bersama artis-artis Malaysia serta Indonesia yang lain,”ujarnya.

Selain itu, Pengarah Urusan HiFive Entertainment, Sean Pereira berkata, pihaknya berbesar hati mengundang artis-artis bernama besar di konsert berkenaan demi memberi kepuasan hiburan kepada penyokong dan peminat.

“Seperti tidak lengkap jika perlumbaan MotoGPTM diakhiri tanpa keraian dalam kalangan pengunjung. Maka kami di HIFIVE Entertainment dengan bangga menganjurkan konsert ini khusus buat peminat artis-artis ini.

“Malah, ia bukan semata-mata bersifat hiburan sebaliknya meraikan pengunjung dari seluruh dunia ke MotoGPTM dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertunjukan drone dan persembahan bunga api sebagai signifikan penganjuran acara yang sukses,”katanya.

Untuk info, bermula pada pukul 4 petang di Helipad, pengunjung boleh menyaksikan persembahan Feel Koplo dan De Fam menerusi Segment Get Started manakala Segment Healing pula akan dikuasai Nidji dan 6itxh Sense, diikuti dengan persembahan bertenaga Ella.

Sementara itu, Segment Lets Rock bersama Smash Mouth pula akan mengambil alih pentas konsert yang tentunya bakal ditunggu-tunggu peminat.

Selain itu, semestinya kemunculan Macklemore di Segment Solidarity merupakan antara yang turut dinanti.

Ini kerana, penyanyi rap terkemuka ini juga baharu sahaja muncul dengan single berjudul Hind’s Hall 2 yang menyaksikan kolaborasinya bersama penyanyi rap Palestin MC Abdul, penulis lirik Amerika- Palestin Amer Zahr dan penyanyi Amerika, Anees Mokhiber.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN