KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Kazar Saisi, 66, mengakui, tidak pernah menghalang minat dan kecenderungan anaknya, Ira Kazar untuk menceburi bidang seni.
Menurut Kazar, sebagai bapa, dia sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua perkara yang dilakukan oleh anak perempuannya itu.
“Saya tak pernah halang minat dia dalam hiburan, saya tak ada tips atau pun nasihat nak berikan kepadanya. Sebab saya dulu pun jalan sahaja, berlakon pun saya tak belajar, menyanyi pun sama.
“Dia ada belajar main gitar, dia minat dan kalau dia tanya mengenai dunia seni saya sokong sahajalah, tak adalah nak halang.
“Saya juga tak adalah nak paksa dia, Alhamdulillah, cuma saya harap dia boleh kendalikan dengan baik,” ujarnya.
Kazar berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hi Tea Anthon’s Leather di One World Hotel, Petaling Jaya, kelmarin.
Mengulas mengenai perkembangan dirinya, Kazar memberitahu dia sudah enam bulan kurang mendapat tawaran lakonan.
“Memang kurang tawaran, memang kurang orang panggil saya untuk menjayakan penggambaran, baik drama atau filem. Namun saya masih berlakon cuma tak macam dulu.
“Tetapi saya percaya pada rezeki, manusia tiada kuasa,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Ira bakal mengeluarkan single terbaharu berjudul Tak Kisah tidak lama lagi.
Kata Ira, lagu itu dibuat kerana dia sudah tidak peduli dengan perkara-perkara negatif yang berlaku pada dirinya.