Saya akan heret mereka ke mahkamah - Rosyam Nor - Utusan Malaysia

Saya akan heret mereka ke mahkamah – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Datuk Rosyam Nor, mengakui kesal dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah bahawa kononnya dia mengeluarkan kenyataan berhubung perceraian pasangan popular, Nur Fazura dan Fattah Amin baru-baru ini.

Justeru, enggan memandang remeh berhubung perkara ini, Rosyam berkata, dia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit demi membersihkan namanya.

“Baik Fattah dan Fazura, kedua-dua mereka saya anggap macam adik sendiri. Namun apabila ada tangan nakal yang membabitkan saya dalam isu itu kononnya saya buat kenyataan berkenaan perkara itu, saya tak akan berdiam diri.

“Mulanya saya tak mahu ambil peduli, tapi bila semua cakap kenapa saya hendak masuk campur dan kemudian merebak hingga jadi teruk sedangkan saya tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan. Maka, perkara ini perlu dipandang serius.

“Hari ini saya akan bersama pegawai penyiasat untuk teruskan kes ini dan cari lagi berapa ramai lagi yang menggunakan nama saya untuk memburukkan saya. Saya akan seret mereka ke mahkamah,” katanya.

Menurut Rosyam, laporan polis yang dibuat menyebut mengenai tindakan mengaibkan dan memfitnahnya menerusi hantaran di media sosial.

Juri program Famili Duo musim keempat (FD4) itu juga mengakui penyebaran fitnah itu menjejaskan namanya termasuk ahli keluarga, malah memberi kesan terhadap kerjasama dengan beberapa agensi.

“Saya akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis untuk menyiasat. Saya tengah marah, mereka perlu ingat saya ada keluarga, besan, menantu dan cucu. Semua terpalit sebab fitnah mereka.

“Sudah tentu menjejaskan nama saya, kita ada kredibiliti dan jenama yang saya bekerjasama. Kadang-kadang orang terlalu percaya dengan apa sahaja yang keluar di media sosial.

“Saya berharap dengan tindakan saya ini akan membuka mata masyarakat. Bukan semua netizen begitu, hanya segelintir yang tidak mahu memahami dan buat hantaran memfitnah,” katanya.

Sementara itu, Rosyam berkata, sudah ada pihak yang tampil membuat pernohonan maaf berhubung isu itu, namun, dia menyerahkan kepada peguam untuk membuat penilaian.

Terdahulu, selepas perceraian Fattah dan Fazura pada 7 Oktober lalu, tular semula rakaman video podcast Rosyam yang membincangkan topik mengenai seorang isteri akan mula memandang rendah terhadap suami jika mereka memiliki lebih kekayaan.

Namun, dalam perbincangan itu, Rosyam tidak menganggap semua wanita berperangai begitu tetapi mendakwa kebanyakannya bersikap demikian.

Berikutan itu, terdapat banyak portal yang menyebarkan berita palsu dengan menyebut kenyataan Rosyam itu adalah berkaitan dengan isu rumah tangga Fattah dan Fazura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN