KUALA LUMPUR : Pelakon, Rita Rudaini, 49, mendedahkan, dia menanggung sendiri kos rawatan anaknya, Airit Rayyan Rizqin yang dimasukkan ke sebuah hospital sejak seminggu lalu setelah mengalami patah tangan.
Menurut Rita, meskipun Rayyan sejak dari bayi telah mempunyai akaun insurans, dia bagaimanapun kecewa kerana mendapati, tiada bayaran ansuran dilakukan sejak 13 tahun lalu dipercayai oleh bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak.
“Kos rawatan Rayyan, dari mula patah tangan sampailah buka plat, saya tanggung sendiri. Bukan insuran. Sebelum ini, Rayyan ada insurans sejak bayi tetapi saya tidak pernah guna sebab tidak pegang akaun tersebut.
“Bagaimanapun, insurans itu sudah terbengkalai hampir 13 tahun sebab pembayarnya sudah berhenti membuat bayaran. Sebelum ini, saya ada ambil juga yang lain tapi sudah tiada lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selepas itu, saya buat keputusan nak buat yang baru, tetapi dengan syarat akaun yang terbengkalai 13 tahun itu perlu ditutup dahulu. Malangnya, manusia yang buat akaun itu tak mahu beri kerjasama untuk tandatangan akaun walaupun ‘tandatangan itu percuma’ sahaja,” sindir Rita.
Jelas Rita lagi, bekas suaminya juga didakwa enggan bebruat demikian meskipun telah dinasihatkan oleh ejen insurans berkenaan menyebabkan sukar untuknya membuka akaun baharu buat Rayyan yang sama dengannya dan Airit Qaqa Arjuna.
“Tak mengapalah Rayyan, Allah itu maha kaya. Saya ambil insurans lain tetapi InsyaAllah, saya tetap akan berikan yang terbaik untuk anak-anak.Allah maha baik, Dia permudahkan segalanya,”katanya.
Dalam pada itu, Rita juga berterima kasih kepada semua pihak yang berada di sisinya sepanjang anaknya itu berada di hospital.
“Alhamdulillah, semuanya dah selamat. Hampir seminggu saya dan adik berumah tangga di hospital. Terima kasih adik korbankan masa sekolah dan aktiviti untuk bersama mommy jaga abang Rayyan.
“Mommy selalu pesan kat anak-anak, kita senang sama-sama dan susah pun sama-sama. Kita kena sentiasa ada untuk masing-masing. Terima kasih ahli keluarga selalu ada untuk kami. Terima kasih cikgu, doktor dan jururawat,”katanya.