KUALA LUMPUR: Penganjuran program Rahmat Bahagia 2024 (RB24) kembali lagi buat tahun kedua setelah berjaya mencipta fenomena tersendiri pada tahun lalu.
Berlangsung di Jalan Negara Kita, Taman Melawati, program yang diadakan pada 25 hingga 27 Oktober lalu membawa pengunjung menyelusuri perjalanan nostalgia dengan tema mengimbau kenangan lampau; dengan mengangkat objek ikonik yang dekat di hati rakyat Malaysia dari pelbagai generasi sebagai tarikan utama.
Menurut Pengasas Manggis Group, Nazura Zahian Rahime,pameran kali ini menampilkan tiga replika bersaiz sebenar yang menceritakan tentang objek ikonik yang mencerminkan setiap generasi masyarakat di Malaysia seperti produk Bedak Nyonya Samfong, Pensil Warna Luna dan Minyak Angin Cap Kapak.
“Replika-replika ini telah ditempatkan secara strategik di Lorong Seni, Jalan Negara Kita, ia diyakini dapat membangkitkan dan mengimbau kenangan lalu, menyemarakkan semangat kesatuan dalam kalangan pengunjung sambil mereka mengimbau kembali memori zaman dahulu dengan lebih dekat.
“Selain pameran seni, RB24 juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti menarik, termasuk persembahan seni, pertunjukan muzik, dan bengkel kreatif.
“Tahun ini, acara disifatkan lebih menarik dengan peluang luas untuk bakat kreatif tempatan berkolaborasi dan mempamerkan karya mereka di hab seni Hulu Kelang ini,”katanya.
Selain itu, Nazura juga berbesar hati kerana RB24 juga mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MyCreative Venture (MYCV).
Selain itu, RB24 juga mendapat sokongan rakan kerjasama seperti Weststar, OKAL & Persenangan, Paling WoW, Sketchnation, Jalan Dalam, Xeem, AK45, Melawati Jam Studio, ElkaElza, PakTam Laksa dan Folk Kofii.
Sementara itu, bercakap mengenai Jalan Negara Kita, Nazura berkata, lorong seni itu diwujudkan sebagai ruang kreatif di mana seni dan komuniti bersatu, menawarkan platform kepada semua lapisan masyarakat untuk bersuara melalui ekspresi seni.
Terletak di tengah-tengah Taman Melawati, kata Nazura, ruang ini melambangkan keterangkuman, menjadi hab meriah bagi artis, penggiat seni, dan penduduk setempat untuk berkongsi idea, berkolaborasi, dan meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.
“Konsep Lorong Seni adalah mudah namun mendalam, ia untuk mencipta ruang awam yang memupuk kreativiti, menggalakkan dialog dan menguatkan ikatan komuniti melalui pengalaman seni bersama.
“Dengan mengubah lorong biasa menjadi kanvas hidup, Lorong Seni bertujuan menginspirasi rasa kepunyaan, perpaduan, dan kebanggaan dalam kalangan komuniti, menjadikannya jambatan kekal antara seni dan kehidupan seharian,”katanya.
Dalam pada itu, Nazura juga berbesar hati kerana ruang kreatif kekal yang terletak antara Manggis dan Weststar di Taman Melawati itu turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi pembinaan bumbung baharu yang disediakan.
Katanya, menerusi kemudahan itu, pihaknya berharap lorong seni itu akan menjadi pusat bagi para artis, penggiat seni, dan ahli komuniti untuk berhubung dan berkarya.