Puteri Khareeza puji suami lebih pandai memasak - Utusan Malaysia

Puteri Khareeza puji suami lebih pandai memasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Lapan bulan memasuki alam rumah tangga, pelakon dan penyanyi, Puteri Khareeza, 27, mengakui dirinya bukan seorang wanita yang pandai memasak berbanding suaminya, Mohd Shukor Kamaruddin, 35.

Menurut Puteri, kelemahan dirinya itu bagaimanapun tidak menjadi masalah memandangkan sejak dari awal sudah berterus-terang dengan suami.

“Sebenarnya saya tak pandai masak. Sejak berkahwin, suami yang lebih pandai memasak. Antara masakan kegemaran saya yang dia rajin buatkan ialah Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah serta Udang Tempoyak.

“Saya bersyukur juga dikurniakan seorang suami yang pandai memasak ini, cuma adakala kita pula jadi risau nak masuk ke dapur dan masak sebab dia punya masakan lebih sedap.

“Pun begitu, saya akui, perlu juga belajar memasak suatu hari nanti,”katanya ketika ditemui pada sidang media Showcase Pertama Puteri Khareeza di ibu negara, semalam.

Selain itu, penyanyi yang lahir menerusi program realiti Lagu Cinta Kita musim ketiga ini juga mengakui bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami kehendaknya dalam memfokus pada kerjaya seni dan pengajian di universiti.

Malah, dia juga mengakui tidak pernah menyesal berkahwin awal meskipun sedang sibuk menguruskan kerjaya dan pelajaran pada satu masa yang sama.

“Saya ini boleh dikatakan bercinta dengan suami hanya selepas berkahwin. Biasanya kita dengar perkara macam ini berlaku pada zaman dulu sahaja bukan? Dulu pun saya tak percaya boleh ke bercinta selepas berkahwin?

“Tetapi Allah kurniakan saya pengalaman ini sekarang. Dulu pun saya bertahun-tahun bercinta dengan bekas kekasih tak tahu hala tuju, tetapi suami berbeza.

“Suami saya ini matang dan banyak beri sokongan selain penyabar. Disebabkan itu juga saya bersetuju untuk berkahwin dengannya, tak menyesal kahwin awal,”katanya.

Pada masa yang sama, Puteri berkata, dia juga banyak melihat perubahan yang baik pada dirinya setelah mendirikan rumah tangga.

Antaranya, jelas Puteri, dia kini semakin matang dalam berfikir dan membuat sebarang keputusan dalam hidup menerusi sokongan dan bantuan suami.

“Kalau dulu, saya rasa diri macam banyak main. Biasalah, muda bukan… dulu tak fikir panjang. Contohnya, mungkin hasrat nak adakan showcase ini pun tak terfikir oleh saya.

“Sekarang saya dah matang sikit, ini antara perubahan besar dalam diri yang saya dapat rasakan,”katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai showcase yang bakal dianjurkan sempena pelancaran single terbaharu berjudul Sebenar nyanyiannya, Puteri mengakui teruja untuk bertemu peminat.

Bakal diadakan pada 16 November ini di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Puteri juga akan membuat persembahan kolaborasi istimewa bersama artis jemputan seperti Haris Fayahet, Zazo Maulana, Maria Khairul (alumni Lagu Cinta Kita 3) dan Adi dari kumpulan Venus.

Antara lagu-lagu yang bakal disampaikan termasuk Sebenar, Sakitnya Hati, Duka Di Sebalik Tawa, Sinaran dan banyak lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya