GENTING HIGHLAND : Melihat kepada situasi dunia industri seni yang menyaksikan banyak kes perceraian artis kebetulan berlaku pada masa ini, pelakon senior, Datuk Rosyam Nor, tidak menolak bahawa dirinya tumpang simpati dengan apa yang terjadi.
Bagaimanapun, kata Rosyam, dari satu sudut, dia percaya, adakala sesebuah perceraian yang berlaku tidak semestinya dilihat sebagai satu bencana.
Sebaliknya, Rosyam berpendapat, adakala ia memberi jalan terbaik buat seseorang itu mencari kebahagiaan sendiri.
“Bagi saya sesetengah perceraian ada juga yang membawa kepada kebahagian. Sebab bercerai ini bukan urusan kita. Ini urusan Tuhan dan siapa kita nak cakap dan tentukan mengenai perkara ini,”katanya.
Tambah Rosyam, apa yang sedang berlaku pada masa ini boleh dikatakan sebagai ujian buat mereka yang perlu melaluinya.
“Ketika ini Tuhan nak duga kita (artis) semua bercerai. Jodoh pertemuan kita semua ketentuan Tuhan,”katanya.
Rosyam yang ditemui di lokasi penggambaran ‘Susuk Bidadari’ arahan Faizal Nadxaman (Jai Ho)turut mengakui bahawa dia mempunyai perasaan takut apabila berbicara soal tersebut.
“Saya ni pun takut sekiranya usia sebegini diuji. Saya dan isteri sudah 38 tahun bina rumah tangga. Bahkan kami dah ada cucu”.
Rosyam dan Datin Runika Mohd Yusof telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1989. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan lima orang anak perempuan.
Terdahulu, beberapa pasangan selebriti mengumumkan berita perceraian mereka di media sosial sekali gus menghiasi suka duka dunia seni tanah air.
Terbaru, penyanyi Kaka Azraff didakwa sudah sah bercerai dengan suaminya iaitu Adam Azriff di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pagi semalam.