Peminat mungkin tidak tahu kisah di belakang tabir - Ayu Damit - Utusan Malaysia

Peminat mungkin tidak tahu kisah di belakang tabir – Ayu Damit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ayu Damit, 35, meminta semua pihak terutama peminat supaya berlapang dada dan berfikiran positif berhubung pemilihan artis untuk konsert a Night With Sumandak Stars yang bakal berlangsung pada 30 November ini.

Menurut Ayu, dia sedar wujud perbalahan antara peminat yang seakan tidak berpuas hati mengenai pemilihan barisan artis yang terlibat dalam persembahan konsert berkenaan namun berharap perdebatan tidak sehingga wujud sengketa semasa sendiri.

“Saya tahu, masing-masing ada pendapat atau pandangan sendiri berhubung apa yang berlaku. Mereka mungkin tak tahu kisah sebenar di sebalik apa yang berlaku di belakang tabir.

“Jadi saya harap semua kelab peminat berlapang dada dan berikan pandangan yang positif kepada artis supaya tidak timbul ketegangan antara peminat masing-masing,”katanya.

Selain itu, kata Ayu, dia juga bersetuju untuk menyertai barisan artis lain dalam konsert tersebut selepas dipujuk oleh pihak penganjur.

Malah, tiada sebab untuknya menolak permintaan kerana artis-artis lain yang terlibat juga merupakan rakan industri seni yang dihormatinya.

“Konsert ni saya rasa sangat bagus sebab pihak penganjur nak kumpulkan penyanyi yang berbakat dan telah lama menempa nama dalam industri muzik untuk meraikan kepada semua peminat-peminat yang inginkan hiburan berskala besar secara live.

“Kalau dilihat, barisan artis yang sertai konsert ini semua mempunyai aura dan bakat yang tersendiri di atas pentas. Semua suara power! Saya harap dapat melakukan persembahan yang terbaik bersama mereka nanti,”katanya.

Terdahulu, penyanyi, Stacy atau nama lengkapnya Ummu Shaikhah Stacy Anam membuat kenyataan umum bahawa dia menarik diri daripada konsert itu kerana mendapati wujud syarat yang tidak dipatuhi oleh pihak penganjur.

Enggan memberi ulasan terperinci berhubung perkara itu, Stacy memberitahu, timbul masalah teknikal yang tidak dapat dijelaskan berhubung keputusan untuk tidak sertai konsert berkenaan.

Poster konsert terbabit menjadi bualan hangat kerana gambar Stacy bukan diletakkan sebagai yang utama. Sebaliknya Bella Astillah diletakkan sebagai ‘bintang utama’.

Selain Ayu, konsert A Night With Sumandak Stars yang akan berlangsung pada 30 November depan di Zepp Kuala Lumpur menampilkan barisan penyanyi kelahiran Sabah iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella Astillah, Didi Astillah serta Azharina Azhar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN