KUALA LUMPUR: Meskipun memilih untuk berpisah, kisah pelakon, Fattah Amin dan Nur Fazura kekal menjadi perhatian selepas lagu yang pernah dirakam bersama berjudul, Bertahan Demi Cinta tetap dilancarkan pada hari ini.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun TikTok Hits Records, lagu ciptaan komposer Ippo Hafiz itu turut meraih pelbagai respons dari warganet.
“Tajuk Bertahan Demi Cinta tapi hakikatnya..,” komen netizen.
“Sayang sangat pasangan ini. Semoga cinta, kasih sayang kembali bertaut,” kata seorang lagi netizen.
“Tak perlulah keluarkan lagu ini. Tajuk tak kena dengan hakikat sebenar,” komen seorang lagi netizen.
Sebelum ini, pengurus kepada Fazura, Iman Tang memaklumkan pihaknya tidak tahu mengenai penerbitan lagu tersebut yang telah dijadualkan pada hari ini.
Kata Iman, tindakan syarikat rakaman itu seolah mahu mengambil kesempatan selain tidak menghormati perasaan Fazura yang kini berdepan dengan isu perceraian.
Isnin lalu, Fazura dan Fattah telah disahkan bercerai dengan talak satu di Mahkamah Syariah Rendah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Perceraian pasangan itu turut menjadi perbualan hangat dalam kalangan selebriti dan warganet selepas aktres itu mendedahkan punca perpisahan mereka.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya. -UTUSAN