KUALA LUMPUR : Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui sering ‘naik hantu’ dan mengagumi nyanyian penyanyi Indonesia Judika setiap kali membuat persembahan.
Siti yang bakal berkongsi pentas dengan penyanyi itu dalam konsert The Journey Of Sound Siti Nurhaliza X Judika pada 14 Disember depan berkata, Judika mempunyai karisma dan aura yang luar biasa.
“Setiap kali saya melihat Judika menyanyi saya akan ‘naik hantu’. Bila mendengar suara dia saya jadi lebih teruja dan bersemangat.
“Saya suka berada di atas satu pentas dengan penyanyi yang mempunyai karakter, karisma dan aura tersendiri. Jadi, untuk bekerjasama dengannya sangat mudah.
“Bila menyanyi bersama Judika, saya dapat rasa benda itu. Dia juga seorang penyanyi yang boleh menyanyi pelbagai genre lagu termasuklah irama tradisional,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Judika turut menyata dirinya tidak berfikir panjang untuk bersetuju bergabung tenaga ketika nama penyanyi lagu Seribu Kemanisan itu dipetik oleh pihak penganjur, Universal Gateway.
“Bila pihak penganjur hubungi dan beritahu ingin menggabungkan saya dan Siti dalam sebuah konsert, saya terus setuju.
“Bila dengar nama Siti, tiada kata tidak daripada saya. Saya merupakan peminat Siti sejak dari dulu.
“Tambahan pula konsert ini bakal diadakan di Stadium Merdeka sebuah lokasi yang sangat bersejarah. Saya sungguh teruja dan terharu,” jelasnya.
Sekadar info, tiket konsert The Journey Of Sound Siti Nurhaliza X Judika yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka itu sudah mula dijual pada 12 Oktober, Sabtu lalu. -UTUSAN