SHAH ALAM : Pelakon, Pekin Ibrahim mengakui tidak kisah dirinya dikecam selepas memuat naik hantaran mengenai rakan baiknya, Fattah Amin di media sosial, baru-baru ini.
Pekin atau nama sebenarnya Mohd. iznan Ibrahim, 42, berkata, dia sedar niat baiknya disalah tafsir, namun perkongsian tersebut merupakan usahanya membantu Fattah memulihkan semula hubungan dengan bekas isterinya, Nur Fazura.
“Kecaman itu perkara biasa, pasti ada yang suka dan sebaliknya. Manalah tahu kalau Fazura terbaca, dia boleh menilai semula keputusannya.
“Ini perkara baik sebab saya tak mahu lihat rakan-rakan bercerai berai dan mahu mereka kembali bersama. Namun, mereka lebih tahu situasi sebenar,” katanya.
Tambah Pekin, dia tidak percaya dengan dakwaan yang mengatakan pelakon drama Lelaki Melayu Terakhir itu berlaku curang seperti yang dinyatakan oleh Fazura selepas bercerai pada 7 Oktober lalu.
“Sebagai kawan, saya nak bagitahu perkara positif sahaja. Bila ada yang dakwa Fattah curang, memang tak percaya sebab saya kenal dia macam mana. Saya buat hantaran tersebut agar orang tahu perangai sebenar Fattah,” jelasnya.
Nafi berat sebelah, Pekin menyatakan dia yakin Fattah mempunyai peribadi yang baik bahkan, dia tidak akan mempertahankan pelakon lelaki itu sekiranya dia benar berlaku curang.
“Saya kenal mereka, malah pernah berlakon dengan Fazura tetapi lebih rapat dengan Fattah. Sudah tentu saya akan pertahankan kawan sendiri.
“Kalau dia ada perangai yang tidak elok, saya tak akan pertahankan pun. Saya tahu dia macam mana. Sebab itu saya yakin Fattah bukan orang yang sebegitu (curang).
“Orang lain pun tahu perangai Fattah macam mana. Dia memang budak baik,” jelasnya.
Terdahulu, Perkongsian Pekin yang mendedahkan keperibadian Fattah mengundah perhatian ramai selepas dirinya yakin pelakon itu tidak curang dengan mana-mana wanita.
Selain Pekin, ramai juga selebriti lain yang memberikan sokongan terhadap Fattah seperti Keena Mentor, Lim Mei Fen dan Lana Nodin. -UTUSAN