M Nasir yakin ‘drama’ kumpulan Search akan berakhir - Utusan Malaysia

M Nasir yakin ‘drama’ kumpulan Search akan berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Maestro Muzik, Datuk M Nasir, yakin isu perbalahan membabitkan kumpulan rock Search yang terpecah dua akan berakhir suatu hari nanti.

M Nasir yang juga komposer dan penerbit kebanyakan lagu Search berpandangan apa yang dilalui kumpulan rock itu adalah ‘drama’ biasa yang dilalui kebanyakan band lain.

“Di negara barat pun begitu juga, ada dramanya. Sekarang drama itu belum habis lagi. Bila drama Search sudah habis, barulah kita tahu cerita keseluruhannya.

“Ya, saya harapkan mereka akan kembali dan saya yakin mereka akan bersama suatu hari nanti. Ini semua muzik, apa yang hendak digaduhkan sangat,” katanya.

M Nasir mengulas mengenai hubungan tegang antara dua kumpulan Search yang kini terbahagi dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai bekas penyanyinya, Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama Search.

Penyanyi Suatu Masa itu juga berharap tindakannya mengundang pemain gitar Search, Kid, untuk tampil di Konsert M N45IR Cipta 2, tidak dikaitkan dengan konflik dalaman kumpulan itu.

“Saya tidak mahu kisah dengan apa yang berlaku. Saya undang Kid ke konsert nanti kerana saya tahu kesan yang akan diberikannya di atas pentas.

“Adakah Kid akan memberikan rasa kekaguman? Ya, saya hanya pentingkan itu,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sesi latihan Konsert Datuk M N45IR Cipta 2 di sebuah studio di sini, semalam.

Dalam pada itu, penganjur Icon Entertainment, Iman Tang, menjelaskan pemilihan Kid sebagai penampilan khas di konsert itu adalah usaha untuk mengetengahkan pemuzik seperti yang dilakukannya sejak Konsert M N45IR Cipta pertama

“Inilah keunikan konsert M.Nasir apabila kita menjemput pemuzik kerana sudah terlalu banyak konsert yang hanya mengundang vokalis semata-mata.

“Mungkin penganjur tidak mampu membayar harga sebuah band, jadi mereka undang penyanyi sahaja. Perkara ini secara tidak langsung akan mencetuskan perpecahan dalam kumpulan.

“Kami hormati semua pemuzik, seperti Kid memang gitaris yang hebat. Cuma kita tidak boleh ambil permintaan semua orang,” katanya.

Konsert M N45IR Cipta 2 dijadual diadakan di lokasi sama, iaitu Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Menurut M Nasir, perancangan mengadakan konsert dibuat dalam tempoh singkat selepas mengambil kira ada beberapa lagu permintaan ramai yang tidak dapat dinyanyikan ketika konsert pertama pada 10 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya