Lancar lagu hari ini kerana tarikh istimewa - FAZURA Studios

Lancar lagu hari ini kerana tarikh istimewa – FAZURA Studios

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: FAZURA Studios dan syarikat label rakaman terkemuka dari Indonesia, HITS Record mengesahkan bahawa lagu baharu duet antara Nur Fazura dan Fattah Amin berjudul Bertahan Demi Cinta telah dilancarkan pada hari ini.

Menerusi satu kenyataan rasmi daripada FAZURA Studios, lagu tersebut yang ditulis oleh komposer terkenal, Ippo Hafiz telah dirakamkan di Jakarta, Indonesia sekitar Januari.

Tidak cuma itu, pengambaran video muzik lagu itu juga telah selesai dilakukan pada Februari lalu dengan mengambil lokasi di Yogyakarta, Indonesia.

Lagu tersebut telah dijadikan runut bunyi untuk drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella 2 (HSC2) yang mula ditayangkan pada 17 Mac 2024.

“Tarikh rasmi lagu ini telah diputuskan secara bersama pada beberapa bulan yang lalu oleh FAZURA Studios dan HITS Record kerana keistimewaan tarikh 10 Oktober 2024.

“Ini juga selaras dengan pendekatan bersama yang diambil oleh kedua-dua syarikat semasa peluncuran lagu berjudul Tenang Diri nyanyian Ippo Hafiz pada tarikh istimewa 9 September 2024 yang lalu.

“Perancangan pelancaran kedua-dua lagu ini telah dibuat pada beberapa bulan yang lepas atas keperluan kerjasama dan persediaan awal termasuk di platform digital terkemuka,”kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, FAZURA Studios memaklumkan, pelancaran lagu ini juga tiada sebarang kaitan dengan perkembangan terkini urusan peribadi Nur Fazura.

“Kami juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak selain menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan oleh pengurus kepada Nur Fazura berhubung pemilihan tarikh pelancaranlagu ini yang telah dilaporkan media tempatan sebelum ini adalah pendapat peribadinya semata-mata.

“Ia tidak mewakili syarikat FAZURA Studios dan HITS Record. Kedua-dua syarikat juga berpegang kepada perancangan yang telah dibuat lebih awal sebelum ini, yang mana tiada sebarang penglibatan oleh pengurus kepada Nur Fazura,”katanya.

Lagu Bertahan Demi Cinta boleh didengari di platform digital termasuk Spotify dan YouTube HITS Record bermula pada hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN