KUALA LUMPUR : Penyanyi dan vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad, 33, menyifatkan tindakan segelintir warganet yang mengkritik persembahan Datuk Amy Search di konsert Search Symphonic baru-baru ini sebagai tidak wajar.
Menurut Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, Amy merupakan seorang penyanyi bertaraf legenda hidup telah banyak membuat sumbangan sebagai anak seni menerusi profil kerjayanya yang telah dibina sejak puluhan tahun lalu.
Justeru, kata Akim, tidak perlu melontarkan komen negatif terhadap artis legenda sepertinya hanya disebabkan vokalnya pada persembahan tempoh hari tidak menepati halwa telinga pendengar.
“Sudah tentu apa yang terjadi pada Amy itu membuatkan saya sedih. Tetapi, pada saya itu adalah asam garam yang perlu ditempuh oleh anak seni tak kira sesiapa pun.
“Walau macam mana pun, saya tetap meletakkan dia (Amy) pada satu tahap yang lain sebab apa yang pernah dia lakukan dulu.
“Kalau diikutkan, saya pun belum sampai tahap apa yang dia pernah buat waktu dia muda dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Akim memberitahu peningkatan usia juga menjadi penyebab wujud perbezaan tenaga dan stamina.
“Bila dah berusia siapa-siapa pun, saya pun yang baru masuk 33 tahun ini terasa juga perbezaan tenaga kalau ingin dibandingkan ketika umur 20an dulu,” ujarnya.
Tambah Akim, dia percaya, Amy sudah melakukan sehabis baik semasa persembahan tersebut diadakan.
“Sepatutnya sebagai pendengar dan peminat, kita perlu melihat daripada banyak perspektif. Jangan hanya kerana berlaku kelemahan sedikit maka kita cepat hendak memberi pendapat.
“Kita manusia, bukan robot. Apatah lagi sebagai anak seni ini, kita ada pasang surut. Walaupun saya ini nampak masih muda, adakala berlaku kelemahan juga contohnya nyanyian jadi ‘pancit’ sikit atau sebagainya.
“Itu sebab saya saya nekad berhenti merokok demi menjaga suara dan kesihatan. Ia sebagai antara sebab saya nak kekalkan stamina ketika membuat persembahan juga. Biasalah, hal-hal begini, perlu ada pengorbanan. Ia untuk masa depan juga,”katanya.