Kerana cinta, Ogy Ahmad Daud pernah 'digam' empat tahun - Utusan Malaysia

Kerana cinta, Ogy Ahmad Daud pernah ‘digam’ empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon versatil, Fauziah Ahamd Daud, 62, mendedahkan, dia pernah membawa diri ke kota London hanya disebabkan putus cinta.

Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy berkata, perkara itu berlaku disebabkan hubungan cintanya bersama seorang pemuda tidak menjadi selain terpaksa berdepan pelbagai cabaran sehingga mengambil keputusan membawa diri.

Lebih malang, kerjayanya juga tersekat seketika apabila digam daripada sebarang tawaran berlakon selama empat tahun.

“Bohong kalau saya cakap saya tidak rasa kecewa. Saya hanya manusia biasa. Saya kecewa dan pergi bercuti ke London bersama kawan-kawan rapat.

“Saya mengaku situasi itu (putus cinta) tidak mudah bagi saya. Saya digam. Empat tahun saya digam tidak boleh berlakon sedangkan perkara itu (bercinta) sudah berlalu. Takkanlah saya masih digam?

“Macam-macam perkara diperlakukan kepada saya. Nak kena bunuhlah, nak kena tembaklah. Apa sahaja saya tak lalui. Orang tak tahu kan?,” katanya.

Fauziah berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di podcast Tanah Berdaulat TV yang dihoskan bekas wartawan meja jenayah Utusan Malaysia, Syaril A Kadir, semalam.

Dalam pada itu, Fauziah memberitahu dia jatuh cinta kepada lelaki tersebut kerana sikapnya yang merendah diri dan menghormati orang tuanya.

“Bila bertemu seseorang yang boleh menerima saya seadanya dan lelaki itu sangat merendah diri. Itu yang membuka hati saya. Saya ingat lagi kata mak saya, dia (lelaki) itu enggang, kita ini pipit (tidak sekufu)

“Saya dilahirkan dalam keluarga orang seni yang sering dipuji walaupun kadang-kadang kita tahu ia hanya palsu.

“Saya menyukai lelaki itu bukan kerana siapa diri dia tetapi sikap rendah diri yang dimiliki. Dia menghormati ibu bapa dan hormat saya sebagai wanita,”imbasnya.

Sedar akan hubungan yang terjalin tidak direstui, pelakon filem Azura ini bagaimanapun terpaksa berkorban untuk memutuskan hubungan kerana menganggap mereka tidak ditakdirkan untuk bersama sebagai suami isteri.

Kata Fauziah, maruahnya sebagai wanita adalah jauh lebih penting daripada mempertahankan hubungan cinta tersebut.

“Saya harus katakan dalam cinta perlu ada pengorbanan tetapi apa yang saya bangga dengan diri saya, tiada siapa boleh beli Fauziah Ahmad Daud.

“Saya seorang yang berpegang teguh dengan prinsip. Bagi saya, maruah saya tidak boleh dibeli. Saya percaya kalau bukan milik saya, ia (jodoh) bukan milik saya,”katanya.

Bagaimanapun, Fauziah memberitahu dia tidak pernah menyesal mencintai lelaki berkenaan dan akur dengan ketentuan takdir.

“Dia memang cinta pertama saya, saya tidak pernah menyesal kerana jatuh cinta kepadanya. Saya menangis sepuasnya. Ada masa kita perlu menghormati pihak itu (lelaki). Tak mengapa saya rasa terluka kerana saya tahu untuk memulihkan rasa kecewa saya,” katanya.

Untuk rekod, Ogy pernah berkahwin dengan seniman Eman Manan pada 23 Disember 1990 namun mereka berpisah 13 tahun kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN