Kalau tak mahu ambil, kenapa tawarkan daripada awal? - Kodi Rasheed - Utusan Malaysia

Kalau tak mahu ambil, kenapa tawarkan daripada awal? – Kodi Rasheed

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Kodi Rasheed mendedahkan, dirinya serik apabila berulang kali dianiaya oleh penerbit yang tidak serius memberikan tawaran lakonan kepadanya.

Tindakan itu, kata Kodi, menyuntik rasa kecewa selain menyusahkan dirinya terutama apabila menganggu susunan jadual kerja.

Disebabkan itu, Kodi mengakui, ia menjadi punca mengapa akhirnya dia berani bersuara di platform media sosial sekitar Julai lalu.

Kodi berkata, rakannya yang bertugas sebagai pengurus produksi memaklumkan penerbit terbabit membuat keputusaan saat akhir untuk tidak bekerjasama dengannya biarpun sudah ada persetujuan awal.

“Luahan itu terjadi sebab saya dah banyak kali kena, penerbit beri tawaran berlakon dan saya pun dah setuju. Lepas itu, mereka tak jadi ambil, terus hilang dan senyap terus.

“Lepas itu, tiba-tiba saya tengok penggambaran dah bermula. Saya pelik dan tanya apa masalahnya. Banyak kali dah saya diam, cuma waktu itu mereka salahkan stesen TV. Tapi saya dapat tahu penerbit yang tak nak.

“Kalau kau tak mahu ambil, kenapa awak tawarkan daripada awal? Kebetulan PM (pengurus produksi) kawan-kawan saya juga, jadi saya bertanyakan kepada mereka.

“Mereka yang beritahu sebenarnya nama saya dah lulus dekat stesen TV tapi penerbit yang tak nak,” kata Kodi ketika ditemui di sesi temu bual pelakon Salju Di Bumi Aukland, semalam.

Selain itu, Kodi berkata, dia bukan seorang pelakon yang pandai membodek penerbit atau melobi diri semata-mata mahu mendapatkan tawaran berlakon.

Justeru, dia lebih selesa menyifatkan rezeki itu atas ketentuan Allah.

“Bagi saya, kalau tak nak kenapa penerbit hubungi saya untuk tawarkan ‘job’ itu. Saya bukan seorang yang ‘kaki kipas’ atau pandai ambil hati sesiapa.

“Saya tak peduli fasal itu sebab anggap rezeki saya bukan di tangan mereka. Rezeki saya daripada Allah… apa-apa jadi pun tak apa,” katanya.

Selain itu, Kodi juga tidak menolak, berasa dirinya seakan dipijak apabila kerap kali dilayan seperti ini.

“Saya bukan marah tapi lebih kepada kecewa, sebab dah banyak kali kena. Saya bukan jenis, kalau dah ‘lock’ terus minta 10 peratus daripada bayaran. Sebab fikir industri ini kecil sahaja.

“Sebab itu saya hanya setuju dulu, nanti dalam masa tiga atau empat hari itu barulah bagitahu fasal skrip semua. Ikutkan skrip pun dah bagi, tapi tiba-tiba ‘bye bye’.

“Mungkin sebab sebelum ini saya jenis tak bersuara di laman sosial, tapi kali ini saya bersuara dan individu itu pun mungkin terasa sebab dia pun dah tak panggil saya dah,”katanya.

Terdahulu, Kodi pernah memuat naik luahan di laman sosial mendedahkan namanya kerap kali dipinggirkan pihak penerbit berikutan tidak memiliki wajah kacak seperti aktor lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya