Kalau ketepikan soal halal haram, berkatkah rezeki itu - Noki

Kalau ketepikan soal halal haram, berkatkah rezeki itu – Noki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Noki K-Clique,39, mengakui serik untuk menerima sebarang tawaran watak yang memerlukan dirinya bersentuhan dengan mana-mana pasangan pelakon wanita dalam sesebuah naskhah drama atau filem.

Menurut Noki, keputusan itu nekad dibuat sejak pulang daripada menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah sekitar Februari lalu.

“Ini perubahan baharu yang sedang saya cuba lakukan. Saya percaya, tanpa babak bersentuhan pun sesebuah lakonan yang dizahirkan dapat memberikan mesej dan impak.

“Saya juga cuba nak elak bawa watak bercinta kerana biasanya karakter begitu pasti akan melibatkan adegan bersentuhan selain risaukan keberkatan sumber rezeki itu. Bagi saya, kita cari duit dengan berlakon, bila ketepikan soal halal haram hingga tidak kisah saling bersentuhan, berkatkah rezeki itu?” katanya.

Noki berkata demikian semasa ditemui pada majlis tayangan filem aksi Reeza GTR arahan Ahmad Idham, baru-baru ini.

Selain itu, kata Noki, dia juga tidak kisah kehilangan tawaran lakonan disebabkan prinsip tersebut.

“Saya tak kisah kalau ada produksi takut untuk tawarkan kerja disebabkan syarat-syarat yang telah saya tetapkan. Tak mengapa, saya lebih yakin rezeki itu dari Allah SWT.

“Pada masa yang sama, saya bersyukur kerana rezeki dalam lakonan sentiasa ada. Sekarang ini pun saya sedang menjalani dua penggambaran serentak iaitu drama untuk Viu Malaysia dan juga filem arahan Syafiq Yusof,” katanya.

Selain itu, Noki juga mengakui berbangga dapat bekerjasama dengan Ahmad Idham untuk filem Reeza GTR terbitan Primeworks Studios & Grand Brilliance.

Jelas Noki, dia tidak menjalani sebarang uji bakat sebaliknya watak itu ditawarkan terus oleh Ahmad Idham kepadanya.

“Ini pertama kali saya bawakan watak antagonis, tak susah untuk bawakan watak Andika mungkin kerana sebelum ini saya ada sikap baran. Jadi lebih mudah menghayatinya.

“Namun, apabila usia sudah meningkat dan semakin mendekatkan diri pada Allah, perlahan-lahan saya cuba ubah sikap baran itu,” ujarnya lagi.

Selain Noki, Reeza GTR turut dibintangi Alif Satar, Sophia Albarakbah, Nelissa Nizam dan Datuk Eizlan Yusof.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN