Kalahkan Linkin Park, orang Jepun beratur tengok Pop Shuvit

Kalahkan Linkin Park, orang Jepun beratur tengok Pop Shuvit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Macam tidak percaya orang Jepun beratur sebab nak tengok budak asal Klang dan Kajang ini bernyanyi,”

DEMIKIAN cerita yang dikongsikan vokalis kumpulan Rock dan Hip Hop, Pop Shuvit, Uno, ketika mengimbau kembali perjalanan mereka menembusi pasaran Jepun ketika awal kemunculannya pada 2000.

Pernah digelar ‘The Most Hated Band’ di Malaysia kerana muzik dalam album pertama, Take It & Shuvit mendapat ulasan buruk dan kritikan pedas, siapa sangka album yang sama jugalah berjaya menyita perhatian label asal Jepun sehingga melayakkannya menduduki carta utama kedai muzik antarabangsa, Tower Records.

“Kami menandatangani kontrak dengan syarikat tersebut untuk menghasilkan tiga album melihat kepada sambutan luar biasa album pertama.

“Kami ingat lagi semasa album pertama dijual di Jepun, dalam tempoh dua minggu sahaja Pop Shuvit berjaya mengalahkan jualan album Linkin Park.

“Macam tidak percaya bila kita jalan di Shinjuku, kedai-kedai di sana mainkan lagu kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Susulan daripada itu, nama Pop Shuvit kemudian semakin dikenali penggiat seni popular Jepun dan sempat bekerjasama dengan Dragon Ash dan artis hip hop, Dabo.

Tidak melepaskan peluang, hasil perancangan rapi, Pop Shuvit yang dianggotai Rudy (dram), Uno (vokalis), Moots (penyanyi), JD (gitar) dan AJ (bass) mengadakan konsert mini jelajah di tiga tempat iaitu Tokyo, Osaka dan Nagoya.

“Waktu itu tiada TikTok, jadi kalau mahu jumpa peminat kita kena buat siri jelajah. Bila ingat balik, sampai sekarang rasa tidak percaya bila lihat orang Jepun beratur nak tengok persembahan kami. Tiada orang Malaysia langsung.

“Walaupun mereka tidak faham apa yang kami sampaikan, namun mereka boleh hadir dan terima lagu kami. Itu adalah antara pengalaman yang sangat kami hargai sampai hari ini,” kata ahli yang lain, AJ yang turut kagum dengan sikap profesional pemuzik Jepun dalam memberikan persembahan terbaik.

Album baru, sedia kembali ke Jepun

Selepas 13 tahun menyepi, Pop Shuvit kembali dengan album terbaharunya, Phantom Frequencies yang memuatkan lapan lagu Melaju, Gila Kuasa, Awas-KRUmanic, Over You, Believer, Space Between Us dan Berbisik.

“Setiap kali kami menghasilkan muzik, kami tidak pasti sejauh mana karya itu boleh pergi. Kami hanya lakukan untuk mereka yang sudi mendengar dan menghargai. Cuma sebagai pemuzik, kami sudah lakukan yang terbaik.

“Kami tidak letakkan harapan jadi terkenal. Kami hanya percaya kepada rezeki untuk berada di atas pentas bersama kawan-kawan yang kami suka. Pop Shuvit tidak bergaduh besar, segalanya kami bahagikan sama rata.

“Kami sudah hubungi kembali rakan-rakan di Jepun, harapnya ada beberapa band yang mahu berkolaborasi dengan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya