Jackie Chan tak percaya dirinya pengsan ketika lakukan aksi lagak ngeri - Utusan Malaysia

Jackie Chan tak percaya dirinya pengsan ketika lakukan aksi lagak ngeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Hebat dalam melakonkan aksi lagak ngeri sehingga dikagumi mata dunia, pelakon Hong Kong, Jackie Chan, 70, tidak terkecuali berdepan dengan situasi yang tidak diingini ketika beraksi.

Jackie berkata, dia pernah pengsan ketika menjalani penggambaran filem Panda Plan dimana pada waktu itu dia sedang melakukan aksi lagak ngeri. Ketika itu, wajah Jackie kelihatan kosong dan seperti tidak menyedari apa yang sedang berlaku.

“Tiba-tiba saya berasa lemah dan nak rebah. Kemudian kru terus berlari kearah saya untuk memastikan saya selamat.

“Saya seperti tidak sedar dan bertanya pada mereka ‘Apa dah jadi?’. Apabila diberitahu saya pengsan, rasa macam tak percaya pula dan menganggap mungkin ia berlaku kerana saya menahan nafas ketika melakukan aksi itu,” katanya.

Jackie berkeras menyatakan dia dalam keadaan baik tetapi memerlukan bantuan untuk bangun.

Bagaimanapun, selepas berehat seketika, mereka kembali menjalani penggambaran adegan yang sama.

“Ia bukan masalah besar, saya perlu meyakinkan semua orang bahawa saya baik-baik saja. Jika tidak, mereka akan menggunakan pelagak ngeri menggantikan saya.

“Jika saya hanya duduk di tepi sambal melihat pihak produksi menggunakan pelagak ngeri, saya akan berasa sangat bersalah!”ujarnya.

Sementara itu, Jackie pada usia 70 tahun, mengakui masih lagi aktif melakukan sendiri aksi berbahaya tanpa bantuan pelakon pengganti.

Menerusi filem Panda Plan, terdapat juga adegan aksi lain di mana dia menunggang motosikal besar menembusi tingkap.

Semasa penggambaran, motosikal tersebut hilang kawalan dan Jackie tercampak sejauh beberapa meter, namun mengakui keadaannya selamat.

“Tak perlu risau, cuma kecederaan kecil, saya benar-benar okey,”katanya.

Selain Jackie Chan, Panda Plan juga menampilkan panda Hu Hu sebagai bintang utama.

Filem ini mengisahkan bintang kung fu, Jackie Chan (dilakonkan oleh Jackie) diundang untuk menjaga anak panda popular, Hu Hu.

Namun, Hu Hu menjadi sasaran organisasi jenayah antarabangsa. Jackie Chan terpaksa bekerjasama dengan pengurusnya, David (lakonan Wei Xiang), dan penjaga panda, Su Xiaozhu (lakinan Shi Ce) membentuk satu pasukan untuk menyelamatkan ‘Khazanah’ tersebut dalam satu operasi penyelamatan antarabangsa.

Panda Plan bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia pada 10 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya