JAKARTA: Penyanyi veteran Indonesia, Ikang Fawzi menangis hiba ketika jenazah isterinya, Marissa Haque dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah bagi dibawa ke tanah perkuburan.
Langkah Ikang kelihatan lemah ketika berjalan menuju kenderaan jenazah sambil dipapah anaknya Chiki Fawzi di sampingnya.
“Isteri saya yang tercinta, Allah… telah pergi, ya Allah,” kata Ikang sambil menangis seperti yang dilaporkan oleh media Indonesia.
Sambil menahan tangisnya, pelantun lagu “Preman” itu meminta doa terbaik untuk arwah isterinya.
“Semoga amalnya diterima Allah, diampuni segala dosa-dosanya, semoga dilancarkan dalam perjalanannya ya Allah, terima kasih banyak,” kata Ikang.
Jenazah Marissan Haque dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Kusir, Jakarta Selatan.
Sebelum itu pun Ikang beberapa kali pengsan di hadapan jenazah isterinya yang meninggal dunia awal pagi ini.
Pemergian artis tersohor Indonesia itu disampaikan oleh sang anaknya, Chiki Fawzi melalui story di instagram.
“Telah berpulang ke rahmatullah ibu saya,” tulis Chiki Fawzi di story instagram peribadinya.