Imej hari ini adalah untuk 10 tahun akan datang - Scha Alyahya - Utusan Malaysia

Imej hari ini adalah untuk 10 tahun akan datang – Scha Alyahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cantik, elegan dan berada dalam kelas tersendiri. Mungkin itu antara gambaran ringkas yang boleh dilayangkan kepada pelakon dan pengacara terkemuka tanah air ini jika dilihat pada personaliti dan fizikal luarannya.

Tidak pernah gagal berpenampilan menarik meskipun cuma menggayakan busana sederhana, Scha Alyahya merupakan antara selebriti wanita yang dipuji ramai kerana begitu mengambil berat tentang imejnya pada setiap kali.

Disebabkan itulah, boleh dikatakan, agak susah untuk melihat Scha dengan imej selekeh umpama tidak bersiap dalam mana-mana majlis atau acara hiburan.

Baginya, sebagai artis dan selebriti, seseorang itu harus menitik beratkan elemen ini supaya tidak dipandang remeh oleh orang keliling.

Bukanlah kerana bimbang sangat dengan apa yang hendak diperkatakan orang, tetapi bagi Scha, imej yang dibina pada hari ini adalah apa yang mampu membantu mengekalkan jenama diri dalam sanubari setiap mata yang memandang, sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Dulu saya pernah cakap, kita sebagai selebriti ini jangan lolek sangat berbelanja untuk imej dan penampilan. Ya, saya tahu, bila berbelanja untuk imej ini nampak macam berat, tetapi sebenarnya, ia adalah apa yang membantu kita pergi lebih jauh.

“Imej adalah jenama kita. Orang akan tengok kita, orang akan rasa yang kita ini artis yang bersiap, nampak ikhlas, nampak rapi, menarik dan bersedia. Itu adalah imej yang mana, ia akan melekat pada diri anda sampai bila-bila.

“Itu yang saya praktikkan sejak dari awal pembabitan dalam industri ini, sekali gus membuktikan yang saya benar-benar serius untuk berada dalam gelanggang ini,”katanya.

Menurut aktres berusia 42 tahun ini, secara peribadi, dia cukup suka melihat segelintir pelakon atau penyanyi lain yang menitik beratkan aspek ini dalam kerjaya mereka, sama seperti dirinya.

“Saya suka tengok mana-mana rakan artis lain yang mana jika mereka hadir ke acara hiburan tertentu, mereka akan ‘all out’ bersiap. Itu sudah jadi normaliti dalam dunia seni ini.

“Saya suka tengok rakan artis, kalau dia misalnya ada ‘show’, dia bawa pasukan kreatifnya bersama. Bagi saya, ia satu ekosistem yang bagus.

“Secara tak langsung, artis itu membantu mempromosikan jurusolek, pereka fesyen termasuk jurugayanya. Bila dia bantu, orang itu akan dapat peluang rezeki, bukankah itu sesuatu yang bagus?”katanya.

Berikutan itu, jelas Scha, dia percaya penting bagi setiap artis dan selebriti untuk membina jenama diri yang kuat bermula dari langkah pertama memasuki industri seni supaya graf kerjaya dapat diperkemaskan dengan lebih baik.

Berhabis duit?

Ditanya adakah dirinya seorang selebriti yang sanggup berhabis duit semata-mata mahu memastikan imejnya kelihatan menarik dan memukau, Scha bagaimanapun memberikan jawapan begini.

Katanya,ada ketika, soal membeli pakaian tidak perlu dilakukan selalu asalkan seseorang individu itu tahu dan pandai bermain dengan daya kreativiti.

“Awal-awal saya masuk dunia seni, saya adalah antara artis yang menggajikan pasukan jurugaya sendiri. Pendek kata, saya akan ada jurugaya rambut, jurusolek dan jurugaya busana yang akan tolong peningkan kepala mencari imej yang sesuai.

“Selepas saya sudah terbiasa dan tahu rentak, saya kemudiannya selesa buat sendiri. Kalau malas nak fikir, barulah saya akan carikan orang sebab takut salah dalam berpakaian.

“Namun, nak kata sanggup berhabis sakan itu tidaklah juga. Hanya jika acara tertentu yang memerlukan saya ada jurugaya, baharulah saya akan gajikan orang,”katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini memuji Datuk Aznil Nawawi sebagai antara selebriti yang dianggap tidak pernah gagal dalam berpenampilan menarik dan menjaga imejnya sebagai orang yang dikenali.

Kata Scha, cara Aznil itu seharusnya dicontohi kalangan selebriti dan artis lain.

“Pak Nil adalah antara artis yang akan bersiap setiap kalinya. Saya pernah ‘shooting’ banyak kali juga dengan dia dan saya tengok dia memang buat solekan dan gaya rambut sendiri. Memang dia sudah jaguhan dalam bab ini.

“Kalau perasan, Pak Nil tak pernah jadikan busananya bak piala pusingan. Kalau ada pun yang diulang tayang, pasti akan ada penambahbaikan atau ubahsuai sedikit yang dilakukannya. Satu lagi, bukan nak puji suami sendiri, tetapi Awal juga umpama Pak Nil.

“Dia antara artis yang kurang berbelanja untuk busana tetapi pandai menggayakan imejnya dengan konsep ‘mix and match’. Dulu, masa dia jadi hos program Melodi, Awal tak pernah ada jurugaya.

“Semuanya Awal lakukan sendiri dan ia membuatkan saya kagum. Dalam tempoh setahun kebelakangan ini barulah dia ada jurugaya sendiri itu pun sebab ada rakaman penggambaran.
Sebab itu saya pesan, artis jangan lokek sangat bab ini.

“Kena ingat, perkara ini adalah antara komponen penting untuk jadi selebriti, 10 tahun lagi orang akan ingat kita dengan imej yang kita bentuk daripada sekarang,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN