Hati-hati, jangan buka aib pasangan - Sharnaaz Ahmad - Utusan Malaysia

Hati-hati, jangan buka aib pasangan – Sharnaaz Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Jangan buka aib pasangan yang pernah kita sayang.”

Demikian kata pelakon Sharnaaz Ahmad yang tidak bersetuju dengan sikap sesetengah orang yang terbuka menyebarkan aib pasangan mereka selepas berpisah.

Sharnaaz yang berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang tular di platform X turut mengambil kesempatan untuk menasihati pasangan pelakon, Fattah Amin dan Nur Fazura yang hangat menjadi perhatian selepas bercerai, Isnin lalu.

Menurut Sharnaaz, menyebarkan aib pasangan selepas berpisah itu mampu memberikan kesan buruk kepada anak-anak yang sedang membesar dan mahu mengenal erti kehidupan.

“Ingat, orang yang kita marah tu adalah bapa. Kalau Fattah nak bercakap apa-apa pun, itu adalah mak Fatima juga. Jadi berhati-hati. Jangan burukkan.

“Biar macam mana sekalipun, biar anak tu hormat mak ayah dia. Anak-anak ini satu hari nanti akan besar, akan baca dalam Internet apa yang mak dan bapa dia cakap tentang satu sama lain,” katanya.

Sharnaaz yang sebelum ini pernah melalui fasa yang sama ketika bercerai dengan bekas isterinya, Noor Nabila sempat meluahkan rasa syukur dia dapat mengendalikan emosi dan situasi perceraiannya dengan baik demi kesejahteraan anak mereka, Jebat Jayden.

“Masa tengah marah memanglah. Tapi Alhamdulillah, masa saya cerai dulu tu saya boleh sabar. Yang penting niat saya ketika itu fikir tentang anak.

“Bila dia dah boleh baca, akan jadi tidak seronok. Jangan buka aib orang, kalau Tuhan buka aib hang macam mana,” jelasnya.

Enggan mengulas lanjut mengenai situasi yang berlaku di antara Fattah dan Fazura, Sharnaaz berpendapat keputusan yang dibuat oleh pasangan itu adalah jalan yang terbaik.

Namun, dia tetap menegaskan agar setiap pasangan yang pernah menjalani kehidupan suami isteri bersama menjaga aib masing-masing biarpun sudah bercerai.

“Saya tak nak komen tentang kesusahan orang. Kalau dah rasa tak boleh hidup sama, baguslah. Bawa hal masing-masing.

“Ingat, apa yang kita buat hari ni. Tuhan akan tunjuk balik apa yang kita selindung selama ni. Jadi hati-hati,” ujarnya.

Untuk rekod, Sharnaaz pernah berkahwin dengan kakak kepada selebriti popular, Neelofa, Noor Nabila pada 31 Mac 2017 namun bercerai pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Jebat Jayden. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya