PETALING JAYA: Syarikat pengurusan, Armani Entertainment, mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai dakwaan menghalau keluar penyanyi naungannya, Hasif Upin daripada rumah yang disediakan dalam tempoh 10 hari.
Enggan tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan, syarikat tersebut bagaimanapun memaklumkan sedang dalam proses mendapatkan nasihat perundangan berhubungan isu tersebut.
“Buat masa ini, kami tidak boleh memberi sebarang kenyataan. Cuma kami sedang mendapatkan nasihat undang-undang,” kata pegawai perhubungan awam Armani Entertainment ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Hasif atau Muhammad Hasif Sharuddin, 32, mendedahkan pihak pengurusannya, Armani Entertainment menyuruhnya segera mengosongkan rumah yang disediakan tanpa alasan munasabah.
Penyanyi Waktu itu meluahkan rasa kecewa kerana perlu melakukan urusan berpindah dari Kuala Lumpur ke kediamannya di Kota Tinggi, Johor, dalam masa yang singkat.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana seorang individu menghulurkan bantuan dan bersetuju membayar sewa bulanan rumah tersebut untuk sebulan lagi.
Malah penyanyi itu mendakwa kali terakhir dia menerima tawaran kerja daripada syarikat sekitar Jun lalu dengan bayaran RM600.
Terdahulu, Pengarah Urusan syarikat berkenaan iaitu Datuk KK Chua tampil membidas kenyataan Hasif dan menegaskan tuduhan kononnya penyanyi itu dilayan buruk sebagai palsu.
Hasif juga disifatkan sebagai artis baharu yang tidak tahu bersyukur selepas pihak pengurusan mengeluarkan pelaburan besar untuk kerjayanya. – UTUSAN