KUALA LUMPUR : Selepas meraih perhatian warganet menerusi bentuk tubuh terkininya yang gemuk, pelakon, Shaheizy Sam, mengakui ‘usaha’ itu dilakukannya bagi menjayakan watak dalam sebuah filem terbaharu yang dirahsiakannya.
Menurut Sam, bagi menambah berat badan, dia terpaksa menukar diet pemakanannya kepada gaya pemakanan yang tidak sihat seperti makanan yang mengandungi kandungan gula dan lemak yang tinggi.
Menurut Sam, sepanjang empat bulan menukar gaya pemakanan, berat badannya meningkat daripada 70 kilogram (kg) kepada 90 kg kini.
“Memang sekali lagi saya kena bulatkan semula badan kerana komitmen terhadap sebuah naskhah layar perak yang bakal menjalani penggambaran.
“Sejak beberapa bulan lalu saya juga paksa diri untuk mengambil makanan tidak sihat supaya proses mendapatkan bentuk fizikal yang dikehendaki cepat menunjukkan hasil.
“Kalau diikutkan, saya dah rasa impaknya sebab sekarang cepat mengah, kuat berpeluh selain mudah penat dan mengantuk tetapi tidak mengapalah, demi kerja dan ini pun untuk sementara waktu sahaja,” katanya.
Tambah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa Asean 2013 (AIFFA 2013) ini lagi, dia tidak kisah melakukan perubahan fizikal sama ada kurus atau gemuk kerana tahu diri sentiasa disiplin dalam menjaga perubahan bentuk fizikal.
“Fasa kurus ke gemuk dan gemuk ke kurus sudah beberapa kali saya lalui demi tuntutan watak. Tetapi berkat disiplin serta sokongan insan sekeliling, saya mampu lakukan dan dapat berat badan ideal semula.
“Semua ini perlukan kekuatan mental sebenarnya. Cuma jika kita ada misi dan semangat, tentu sahaja segala rintangan dapat dicapai,”katanya.
Selain berbadan besar, Sam juga pernah berjaya menguruskan badan untuk watak dalam filem Pinjamkan Hati dan kembali ‘sado’ untuk filem Polis Evo.
Sebelum itu isterinya, Syatilla Melvin turut berkongsi video perubahan fizikal Sam dan memaklumkan suaminya sedang melakukan persediaan untuk filem baharu.
Bahkan perubahan ketara tersebut turut meraih pujian kakaknya, Datin Seri Zizie Izette yang berkongsi foto terkini Sam bersama kapsyen bangga dengan kesungguhan adiknya memenuhi tuntutan kerja.