PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengesahkan sudah bercerai dengan isterinya, Azrene Ahmad beberapa bulan yang lalu.
Menurut Fazley, keputusan itu diambil atas persetujuan bersama selepas 18 tahun bergelar suami isteri.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Asmara Ini itu telah sepakat untuk meletakkan hak jagaan empat orang anak di bawah jagaan bersama.
“Semoga dengan adanya pengumuman ini, tidak akan ada lagi kekeliruan tentang hubungan kami berdua selepas ini,” jelas Fazley dalam satu kenyataan kepada media.
Walaupun sudah berpisah, Fazley menegaskan hubungannya dengan bekas isteri masih dalam keadaan baik.
Terdahulu, Fazley dan Azrene telah mendirikan rumah tangga pada 7 November 2007.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, dan Ahmad Fierudz Shah 13 dan seorang anak perempuan, Alayna Selma, 7.