Fasha Sandha titip doa buat Fazura, Fattah

Fasha Sandha titip doa buat Fazura, Fattah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Saya kehilangan kata-kata dan terkejut ketika perkara itu terjadi.”

Demikian kata pelakon, Fasha Sandha ketika mengulas mengenai pengakhiran kisah rumah tangga sahabat baiknya, Nur Fazura dan Fattah Amin yang sah bercerai pada 7 Oktober lalu.

Enggan menyebelahi mana-mana pihak, Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, bagaimanapun mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.

“Sebagai seorang sahabat, saya doakan yang baik-baik pada Fazura dan Fattah. Kita tidak tahu mungkin perkara yang mereka alami sekarang ini akan membuatkan mereka lebih rapat satu hari nanti,” katanya.

Ditanyakan mengenai reaksinya melihat rakan baiknya dikecam, Aktres Filem Popular itu menyifatkan Fazura seorang wanita yang kuat untuk menghadapi segala situasi meskipun netizen bersikap keterlaluan.

“Saya rasa Fazura seorang wanita yang kuat. Saya yakin dia tetap akan kuat walaupun dikecam sebab dia seorang ibu. Seorang ibu ini selalunya mempunyai satu kekuatan yang luar biasa.

“Mungkin apa yang terjadi itu, bila buat sesuatu kita tidak tahu apa yang dia lalui. Kita tak dapat baca isi hati dia. Jadi, jangan terlalu mengecam dan menghina.

“Sebaiknya, jangan keterlaluan. Berikan mereka ruang. Kita tak boleh menghakimi orang lain. Saya rasa perkara itu tidak wajar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fasha turut menganggap perkahwinan itu merupakan pinjaman daripada Sang Pencipta untuk setiap pasangan memberikan yang terbaik selagi mempunyai kesempatan.

“Saya sentiasa menganggap perkahwinan ini satu pinjaman. Saya tidak tahu pinjaman ini sampai bila. Tapi, dalam masa yang sama saya mahu pinjaman ini berkekalan ke akhir hayat.

“Kalau pinjaman ini untuk sementara, apa kita boleh buat. Itu semua dah ditakdirkan. Yang penting, kita suami isteri buat yang terbaik,” katanya lagi.

Fasha ketika diminta mengulas mengenai isu sekufu dalam rumah tangga berpendapat, seorang isteri perlu meletakkan suami di paras yang tertinggi meskipun lebih berjaya dan berkemampuan berbanding mereka.

“Pada saya, sekufu atau tidak, itu nombor dua. Apabila kita bergelar isteri, kita di bawah suami kita. Walaupun kita lebih kaya, berharta dan berjaya, suami kita tetap di atas kita. Saya akan pastikan Aidil suami saya, dan saya menghormati dia.

“Tidak dinafikan perkahwinan adakalanya kita tidak sependapat sebab pendapat lelaki dan perempuan berbeza. Tapi kami selalu mengalah. Nak kata saya sempurna, tidak. Tapi, saya buat yang terbaik buat anak-anak kami bersama,” ujarnya.

Sekadar info, Fasha telah dinobatkan sebagai Aktres Filem Popular di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, Jumaat lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN