KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira dipuji netizen yang menyifatkan dia bukan sahaja seorang yang cantik, malah bijak menjaga aib bekas pasangannya.
Erra yang sebelum ini pernah bertunang dengan penyanyi rock Awie, berkahwin dengan pengarah, Yusry Abdul Halim dan Engku Emran Engku Zainal Abidin juga tidak pernah sekalipun mendedahkan punca perpisahan mereka.
“Erra Fazira, tahap cantik dah jadi Ratu Cantik. Walau putus tunang dengan Awie, pernah kahwin dengan Yusry dan Engku Emran, tak pernah dengar sekalipun dia cakap buruk pasal semua bekas pasangan dia.
“Waima Awie pun dah jadi kawan dia,” kata seorang netizen di aplikasi Threads.
Dalam perkongsian sama, pemilik akaun tersebut turut kagum dengan sikap toleransi dan profesional Erra dan Engku Emran membesarkan anak mereka, Engku Aleesya walaupun sudah tidak bersama lagi.
“Dia lahir dalam keluarga yang bermasalah tapi dia ubah kitaran itu. Dia mengalah bagi anak pada Engku Emran, sebab tahu kerjaya Engku Emran lebih stabil untuk besarkan anak.
“Dia berusaha untuk akhiri sengketa, tapi tak pernah tengok dia merayu mohon kerja. Tahap primadona, tinggi kelasnya. Artis,belajar dari dia,” kata pemilik akaun itu lagi.
Sekadar info, Erra dan Awie pernah mengikat tali pertunangan pada tahun 1996 namun putus pada tahun 1998.
Kemudian, pelakon jelita itu berkahwin dengan Yusry pada 2003 namun bercerai pada 2006.
Pada 25 Oktober 2007, penyanyi itu berkahwin buat kali kedua bersama Engku Emran namun berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya.