Enam duo popular bersaing di pentas Famili Duo musim keempat - Utusan Malaysia

Enam duo popular bersaing di pentas Famili Duo musim keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tampil dengan keunikan pada tahun ini, program Famili Duo terbitan TV3 kini telah memasuki musim keempat (FD4) dengan membariskan enam duo popular merangkumi artis hebat tanah air.

Bakal bersiaran lapan episod setiap Ahad bermula 20 Oktober ini, jam 9 malam, antara pasangan duo yang terlibat pada musim kali ini adalah duo adik-beradik, Zahid dan Anne yang menyaksikan bekas peserta Akademi Fantasia 2004 itu Zahid kembali ke pentas program realiti selepas 20 tahun berlalu.

Turut bertanding ialah penyanyi bertaraf senior yang juga vokalis kumpulan New Boyz, Tomok yang bergandingan bersama sepupunya, Sharul Kamal.

Bersaing sama ialah pemegang trofi Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu Ke-37, tahun lalu iaitu Shiha Zikir yang bakal bergandingan dengan kakaknya, Ieda Zikir.

Sementara itu, penyertaan vokalis Floor 88, Ayie Elham bergandingan bersama sepupunya, Salma Asis yang juga juara Mentor musim kelima dijangka memberi saingan hebat dalam FD4.

Duo seterusnya, Didi Astillah yang akhirnya membuat kemunculan di pentas FD4 dan bakal bergandingan bersama sepupunya, Yazmin Aziz.

Turut mengambil bahagian pada tahun ini ialah penyanyi senior yang juga vokalis kumpulan Boboy, Naqiu.

Bagaimanapun, pasangannya masih dirahsiakan dan akan diumumkan pada konsert minggu pertama FD4 pada 20 Oktober ini.

Enam pasangan selebriti akan bertarung dan mempamerkan kreativiti menerusi tema berbeza setiap minggu menjadikan setiap episod lebih sengit dan sukar dijangka.

FD4 akan dikemudikan oleh artis serba boleh, Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos serta juri pula terdiri daripada Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.

Duo juara mingguan akan memenangi hadiah berjumlah RM10,000 setiap minggu (tujuh episod) dan juara pentas akhir FD4 akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus).

Musim baharu Famili Duo diketuai oleh Russell Mark Rodrigues sebagai Pengurus Projek dan Muhamad Sufian Che Isa sebagai Penerbit Eksekutif.

Selain TV3, FD4 boleh distrim secara langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Pengumuman enam duo, hos dan juri FD4 diumumkan pada sidang media yang berlangsung di The Grey Box, GMBB, Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya