GENTING HIGHLAND : Pelakon, Alya Iman mendedahkan, dia terpaksa mengambil cuti rehat selama empat bulan bagi memastikan emosinya kembali stabil setelah berdepan dengan situasi kematian sahabat baiknya yang juga merupakan teman serumah.
Menurut Alya, sepanjang tempoh rehat tersebut, dia tidak mampu untuk mengambil sebarang tawaran kerja lakon dan cuma berkurung di dalam rumah berikutan terlalu sedih dengan pemergian sahabatnya yang dikenali sebagai B itu.
“Sebenarnya, saya ini baru sahaja kehilangan B (nama panggilan) sahabat baik saya. Saya anggap dia macam kakak saya sendiri sebab kami ini berkawan sudah lama, sejak dari kecil. Rapatnya kami ini sehinggakan apabila dewasa pun, kami duduk bersama-sama serumah.
“Apabila saya tahu dia sudah meninggal dunia, dunia seakan terhenti. Saya memang tak boleh nak buat apa-apa. Diri terlalu murung dan susah nak buang rasa sedih itu,”katanya.
Alya berkata demikian semasa ditemui di set penggambaran filem Susuk Bidadari di sini, semalam.
Enggan memberitahu punca kematian sahabat baiknya, kata Alya, pemergian wanita berkenaan benar-benar memberi kesan kepada dirinya.
Sementara itu, ditanya mengenai momen terakhir bersama B, Alya dengan nada sebak memberitahu, sebelum menerima khabar kematian, sahabatnya itu sempat bergurau dan menyebut mahu pergi jauh.
“Saya ingat lagi dia cakap dia nak pergi jauh sebelum keluar dari rumah. Di Twitter pun dia ada tulis pasal kematian. Masa itu saya anggap dia berjenaka sahaja dan kami gelak. Pada masa yang sama saya rasa tak sedap hati.
“Keesokannya, saya dapat berita yang dia sudah tiada. Memang saya tak percaya dan menangis tanpa henti. Kering air mata saya masa itu,”katanya.
Berbicara lebih lanjut, Alya berkata, keadaannya pada masa ini semakin pulih dan sudah mula bekerja seperti biasa.
“Alhamdulillah, sekarang dah okey walaupun sedih itu masih ada. Saya perlu cari jalan untuk bangkit.
“Jadi saya ambil tawaran berlakon filem Susuk Bidadari ini bagi memulakan kerjaya semula. Lagipun ini adalah pertama kali saya terbabit dalam sebuah filem genre sebegini,”katanya.
Naskhah filem Susuk Bidadari mendapat garapan sutradara Faizal Nadxaman dan diterbitkan oleh Anomali Media & Production.
Selain Alya, filem genre seram ini turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Trisha Ooi.