Empat band popular barisi Konsert Destiny of Music 2.0 - Utusan Malaysia

Empat band popular barisi Konsert Destiny of Music 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas berjaya mencipta fenomena tersendiri, Konsert Destiny of Music 2.0 bakal dianjurkan buat kali kedua dengan dijadualkan berlangsung pada 15 November 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Bakal menampilkan empat band popular tanah air iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks, konsert ini dijangka menjadi platform utama untuk meraikan kebangkitan muzik tempatan dengan lebih bertenaga dan dinamik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif B De Paris Project, Burhan Ahmad, penganjuran konsert tersebut antara usahanya untuk memartabatkan muzik tempatan sambil membuka peluang kepada kerjasama baru dalam industri menerusi jalinan kerjasama Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment.

“Sambutan hangat terhadap edisi pertama telah mencetus inspirasi untuk menjadikan konsert ini sebagai wadah untuk mengukuhkan posisi mereka dalam industri, sambil menyokong perkembangan bakat tempatan.

“Empat band ini juga kami terpilih kerana mereka mempunyai kehebatan dalam arena muzik masing-masing. Sebagai contoh Akim & The Majistret terkenal dengan lirik yang mendalam dan melodi epik manakala Kugiran Masdo sinonim dengan elemen retro-mod.

“Tidak ketinggalan, Empty Page dan Insomniacks yang membawa pendekatan segar dalam genre alternatif, menambah pelbagai rasa muzik kepada penonton,”katanya.

Berbeza dengan konsert biasa, kata Burhan, Destiny of Music 2.0 dijangka mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan peminat setia yang sering mencari tiket berpatutan untuk menikmati persembahan berkualiti.

“Harga tiket bermula serendah RM55, menjadikan konsert ini sebagai salah satu acara yang mampu diakses oleh semua.

“Dengan variasi kategori tiket seperti Silver, Gold, Diamond, Platinum, dan VIP, konsert ini membuka ruang kepada pengalaman eksklusif bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih istimewa,”ujarnya.

Selain itu, kata Burhan lagi, memandangkan konsert ini merupakan kesinambungan daripada edisi pertama, ia turut menonjolkan kepentingan kesinambungan dalam membangunkan industri hiburan tempatan.

Konsert ini dijangka akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dengan persembahan yang bukan sahaja bertenaga tetapi juga mencerminkan keunikan muzik Malaysia.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket, boleh layari platform rasmi ticket2u.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya