KUALA LUMPUR : Pempengaruh yang juga anak kepada pelakon, Abby Abadi dan Norman Hakim iaitu Marissa Dania Hakim, 19, mengakui sebagai manusia biasa, dia tidak dapat menghalang masyarakat untuk terus bercakap atau mengutuk dirinya di media sosial.
Jelas Marissa, ini kerana perkara itu bukan sesuatu yang dapat dikawal olehnya.
“Tak tahulah sebab benda yang datang itu, cakap-cakap orang, kita tak boleh nak kawal tetapi macam mana cara kita balas dan respon itu yang kita boleh kawal.
“Saya pun tak tahu sebab mereka nak buat macam itu jadi kita boleh buat apa? Tak ada niat pun nak tarik perhatian orang,” katanya.
Dalam pada itu, Marissa juga berkata hantaran di media sosial yang dilakukan ibunya juga bukan bertujuan untuk menarik perhatian ramai.
“Hantaran di media sosial yang dilakukan juga saja-saja begitu juga dengan mama. Mama pun bukannya dia muat naik dengan tujuan nak cerita atau beritahu semua orang.
“Dia muat naik untuk dia tetapi orang yang menganggap benda tu lain. Orang yang terasa dengan apa yang kita muat naik,” katanya.
Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai apabila kecoh mengenai keputusan dia bernikah dengan jejaka berstatus suami orang dikenali Ahmad Aslam secara senyap Disember tahun lalu.
Lebih mengejutkan, perkahwinan Marissa dan Aslam didakwa berlangsung ketika isteri pertamanya, Umisya Mazlan sedang berada di Tanah Suci Makkah. – UTUSAN