Bella Astillah mohon maaf, hantaran Instagram sekadar gimik

Bella Astillah mohon maaf, hantaran Instagram sekadar gimik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, mengakui hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Selasa hanyalah sekadar gimik promosi konsert.

Bella atau Dayang Nabellah Awang Astilla, 30, memohon maaf sekiranya hantaran tersebut membuatkan peminat menjadi khuatir.

“Sebenarnya saya takut juga buat hantaran itu, tapi atas permintaan penganjur dan persetujuan bersama keluarga, saya buat juga gimik itu.

“Sebelum ini saya tak pernah buat begitu, saya minta maaf kalau ada yang risau.

“Tapi saya bersyukur kerana itu juga menunjukkan mereka (peminat) ambil berat tentang diri saya,” katanya.

Bella berkata demikian bagi mengulas hantaran di Instagram kononnya mahu mengumumkan sebuah berita tergempar hari ini.

Penyanyi asal Sabah itu juga meyakinkan peminat bahawa dirinya tidak akan kembali kepada bekas suami, Aliff Aziz, seperti yang hangat diperkatakan di ruangan komen.

“Melihat komen bertanya adakah saya mahu kembali bersama, saya juga risau. Saya berdoa agar dijauhkan daripada itu. Fokus saya hanyalah untuk anak-anak.

“Sebab itu dalam hantaran saya cakap harap semua boleh terima sebab gusar juga ini konsert pertama dan mahu menjayakan konsert Sumandak ini buat julung kali,”

Bella ditemui Utusan Malaysia di sesi sidang media A Night With Sumandak Stars di Hotel Tamu, pada Selasa.

Terdahulu, Bella mencuri tumpuan apabila membuat hantaran berlatar belakang warna hitam dengan tulisan

‘Bella ada sesuatu yang ingin Bella umumkan kejap lagi. Harap sangat semua dapat menerima dengan baik dengan apa yang bella akan sampaikan’

Dalam perkembangan lain, Bella merupakan salah seorang daripada enam penyanyi yang bakal membuat persembahan di konsert A Night With Sumandak Stars.

Turut sama menjayakan konsert pada 30 November di Zepp KL ialah Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN