KUALA LUMPUR : Di sebalik kemelut yang berlaku dalam penganjuran konsert A Night With Sumandak Stars baru-baru ini, penyanyi, Azharina Azhar, mengakui akhirnya bersetuju untuk kembali menjayakan konsert tersebut setelah senang hati dengan soal bayarannya.
Menurut Azharina, dia menerima pelawaan tersebut setelah pihak penganjur bersetuju untuk membayar perkhidmatan nyanyiannya selain berkali-kali berusaha memujuk dirinya untuk bersama barisan artis terpilih di konsert berkenaan.
“Kalau nak diikutkan dalam senarai awal, saya yang paling kakak (senior) antara mereka semua, 23 tahun saya berada dalam industri seni. Saya rasa sangat gembira apabila dengar konsert seperti ini bakal diadakan. Kami penyanyi dari Sabah dapat berkumpul dan menghiburkan para peminat.
“Namun begitu, saya terpaksa menolak tawaran yang diberikan pada awalnya kerana bayaran yang saya minta tidak mampu mereka tunaikan. Kami selesai cara baik dan tiada sebarang konflik di antara pihak penganjur dengan saya.
“Bagaimanapun, selepas beberapa hari sidang media berlangsung, saya dapat banyak panggilan daripada penganjur yang memujuk saya untuk menyertai.Malah, mereka bersetuju dengan bayaran asal yang saya minta,”katanya.
Pada masa yang sama, Azharina berkata, dia juga berlapang dada menyertai konsert tersebut atas dasar cinta akan negeri kelahiran, kerjaya seni dan mahu menghargai peminat.
“Dunia seni kecil, kalau kita tak sokong antara satu sama lain siapa lagi nak sokong? Saya sayang semua. Bila lagi anak-anak Sabah nak berkumpul dan berkongsi satu pentas seperti ini.
“Saya harap semua orang beli tiket dan tonton konsert ini. Pasti kami akan memberikan yang terbaik,”katanya.
Terdahulu, penyanyi, Stacy atau nama lengkapnya Ummu Shaikhah Stacy Anam membuat kenyataan umum bahawa dia menarik diri daripada konsert itu kerana mendapati wujud syarat yang tidak dipatuhi oleh pihak penganjur.
Enggan memberi ulasan terperinci berhubung perkara itu, Stacy memberitahu, timbul masalah teknikal yang tidak dapat dijelaskan berhubung keputusan untuk tidak sertai konsert berkenaan.
Poster konsert terbabit menjadi bualan hangat kerana gambar Stacy bukan diletakkan sebagai yang utama. Sebaliknya Bella Astillah diletakkan sebagai ‘bintang utama’.
Selain Azharina, konsert A Night With Sumandak Stars yang akan berlangsung pada 30 November depan di Zepp Kuala Lumpur menampilkan barisan penyanyi kelahiran Sabah iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella Astillah, Didi Astillah serta Ayu Damit.