KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisyah Aziz mengakui tidak mudah memujuk hati untuk terus istiqamah memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna sebagai seorang wanita Muslim.
Aisyah berkata, sejak tampil dengan imej bertudung, dia tidak menolak seringkali menerima teguran daripada warganet mengenai pemakaian tudungnya.
“Kenapa kau pakai tudung macam ni? Itu antara teguran yang selalu saya terima. Bagi saya, adalah lebih baik kalau mereka berkata, ‘apa yang memberi inspirasi kepada awak untuk pakai tudung?’ Bukankah itu lebih baik?”katanya.
Dalam pada itu, tambah penyanyi ini lagi, dia juga mengakui adakalanya berdepan dengan kesukaran dan cabaran memakai tudung terutamanya cuaca panas.
“Ada juga yang tanya, mungkin susah untuk saya pakai tudung sebab panas. Memanglah saya pakai tudung nampak leher, panas. Sangat panas.
“Terus-terang, adakala saya rasa marah bila menutup leher, saya akan sukar untuk jadi baik dan sopan (bertudung) kerana ia sangat panas.
“Tetapi bagi saya kalau saya pakai tudung nampak leher sikit..tak mengapa untuk saya buat ketika ini,”katanya dalam audio siar Studio Sembang.
Jelas Aisyah, sebagai seorang individu, dia sangat memerlukan sokongan daripada masyarakat agar dapat mengekalkan imej muslimah selain berharap orang ramai tidak lagi memberi komen yang negatif.
“Saya perlukan setiap orang untuk membantu saya membetulkan niat. Tetapi saya ada kawan yang membantu saya.
“Tetapi bagi saya untuk orang yang terus berkata, ‘baik tak payah pakai tudung.’ Itu adalah racun,”katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menitipkan kata-kata semangat untuk Aisyah agar dia tetap istiqamah untuk menutup aurat dengan sempurna.