KUALA LUMPUR : Empat tahun meniti perjalanan sebagai seorang ibu tunggal, pelakon, Mas Anizan, mengakui lebih bahagia menjalani kehidupannya kini tanpa didampingi lelaki bergelar suami.
Menurut pelakon berusia 51 tahun ini, sejak berpisah dengan bekas suami, dia tidak pernah lagi memikirkan hasrat untuk mencari pengganti atau kembali bergelar isteri orang.
Malah, dia juga lega kerana anak-anak juga tidak pernah bertanyakan mengenai perkara itu kepadanya.
“Sebenarnya, saya kini lebih gembira menjalani kehidupan bersama anak-anak. Tak pernah terfikir pun soal jodoh atau hasrat mahu mencari teman hidup buat masa ini. Tentang jodoh itu, saya lebih selesa menyerahkannya kepada Yang Maha Esa.
“Pendek kata, kalau ada, adalah. Kalau tiada pun saya terima kenyataan. Buat masa ini tiada sesiapa yang kejar saya atau hantar mesej peribadi di Instagram untuk berkenalan.
“Yang penting, anak-anak pun tak pernah tanya mengenai hal ini. Jadi untuk mengisi masa lapang, saya cuba sibukkan diri dengan menjalani penggambaran drama. Kalau tiada penggambaran saya habiskan masa dengan anak-anak, itu sahaja,”katanya.
Selain itu, kata Mas Anizan, ada selang waktu juga, dia gemar bercuti ke rumah anak sulungnya yang menetap di Doha, Qatar.
“Kadangkala saya tinggal di sana selama sebulan dan hanya akan balik Malaysia apabila ada tawaran berlakon. Saya bawa anak bongsu kerana dia bersekolah di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pengalaman berlakon di bawah pengarahan Dr Ahmad Idham Mohd Nadzri untuk filem Reeza GTR, kata Mas Anizan, ia merupakan satu tawaran yang sukar ditolaknya.
“Filem Reeza GTR merupakan naskhah kedua yang saya bintangi selepas kali terakhir terbabit menjayakan filem berjudul Antara Gadis pada tahun 1993.
“Itu sudah 30 tahun yang lalu. Kalau diikutkan, saya sebenarnya memang sudah lapang masa sewaktu Idham tawarkan peluang itu kepada saya. Siapa yang tak nak berlakon di bawah arahan dia bukan? Jadi saya terima.
“Selain filem ini, saya juga ada berlakon untuk naskhah-naskhah drama. Untuk pengetahuan, saya mula aktif berlakon selepas Perintab Kawalan Pergerakan (PKP),”katanya.
Untuk info, Mas Anizan hanya sempat membintangi filem Antara Gadis dan kemudian dilamar sebagai isteri oleh Allahyarham Datuk Ali Bapoo pada tahun 1993.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Mas Aliza, 29, dan Muhamad Masli Daniel, 24.
Mas Anizan kemudian berkahwin kali kedua dengan seorang ahli perniagaan dan dikurniakan anak, Ariana Marrisa, 11.
Bagaimanapun, perkahwinan kedua tersebut tidak mampu bertahan lama dan kedua-duanya memilih untuk berpisah pada 2021.