Alif Hadi, Yasmin Hani sudah putus - Utusan Malaysia

Alif Hadi, Yasmin Hani sudah putus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Pelakon, Alif Hadi mengesahkan dirinya sudah kembali solo selepas hubungan cintanya dengan aktres Yasmin Hani terlerai sejak dua bulan lalu.

Menurut Alif atau nama penuhnya Muhammad Alif bin Abdul Hadi, 36, dia enggan berkongsi secara terperinci punca perpisahan mereka memandangkan itu merupakan keputusan bersama.

“Saya sudah kembali solo sejak dua bulan lalu iaitu sekitar Ogos. Kalau boleh memang tak mahu kongsi mengenai hal putus cinta ini kepada umum sebab perkara ini bukan hal yang elok untuk diuar-uarkan

“Tapi kalau sudah tiba waktunya orang tahu, akan tetap diketahui juga. Kalau boleh saya tak mahu meletakkan kesalahan pada mana-mana pihak, perpisahan ini keputusan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Alif ketika menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) pada Jumaat lalu seorang diri tanpa ditemani Yasmin.

Meskipun jodoh tidak panjang, Alif menyatakan dia memilih untuk tidak bermasam muka dan masih menjaga hubungan baik dengan ibu kepada dua orang anak itu.

“Kami masih berhubung, kadang-kadang anak-anaknya ada hubungi dengan panggilan video saya sebab rindu. Mereka kata nak jumpa, lepas ABP ini, mungkin akan cari masa untuk bertemu dengan mereka.

“Hubungan saya dengan Yasmin pun masih baik, tidak bergaduh pun. Kalau tiada jodoh sekali pun, buat apa nak bermasam muka atau bermusuh sebab industri ini sangat kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aktor Pembantu Filem Popular itu mengakui sedih apabila hubungan cinta yang sudah dibina sejak tiga tahun lalu sudah terlerai.

“Sejujurnya memang ada rasa sedih sebab kami sudah bercinta selama tiga tahun, namun pada masa sama tak mahu buang masa dan perlu ‘move on’. Tuhan Maha Perancang, satu nikmat diambil dan pasti akan diganti dengan perkara lebih manis lagi.

“Bagi saya, kita hanya mampu merancang dan kalau sudah terjadi. Doa yang baik-baik. Mungkin perancangan saya ini tidak sehebat aturan Tuhan, jadi berserah sahaja,” jelasnya.

Enggan perpisahan itu menjejaskan kesihatan mental, Alif memilih untuk tidak bersedih terlalu lama, sebaliknya mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap kerjaya seninya.

“Ketika ini lebih kurang fasa ‘healing’, saya memang teruskan hidup macam biasa. Pada awalnya memang rasa sangat sedih tetapi saya beri fokus utama pada diri sendiri dan kerja yang setakat ini tak berhenti.

“Mungkin kalau saya tiada kerja ketika ini (fasa putus cinta), mungkin keadaan kesihatan mental akan terjejas. Apa pun syukur semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya.

Untuk info, Yasmin telah mendirikan rumah tangga dengan Sha’arin yang juga pemain dram Blackrose pada 2015 dan berpisah selepas 10 tahun berkahwin berpunca daripada tiada persefahaman.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong kini berusia tujuh tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya