Asya'B terharu Zul 2by2 balas mesej positif

Asya’B terharu Zul 2by2 balas mesej positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Singapura, Asya’B, mengakui tidak menyangka tindakan beraninya menghantar mesej langsung (DM) kepada Zul 2By2, membuahkan hasil apabila komposer tersebut memberi respons positif terhadapnya.

Menurut Asya’B atau nama sebenarnya Nurasya Abdul Rahim,34, tindakan itu membuka peluang kepadanya untuk meluaskan bakat dalam bidang nyanyian sekali gus mengukir kerjaya seni di negara ini.

Menerusi single berjudul Sayang Padamu, Asya’B turut berbangga kerana lagu tersebut turut mendapat sentuhan terbitan daripada Zul dan Bajai.

“Saya memang selalu ikuti ‘live’ abang Zul di TikTok. Selepas meninggalkan komen dan mesej, dia minta saya untuk ‘naik kotak’ atau berkomunikasi secara ‘live’ di media sosial terbabit. Suatu hari, dia cakap dia nak nyanyi lagu Marah Bukan Sifatku daripada kumpulan New Boyz yang merupakan karya ciptaannya.

“Saya sangkakan penulis lirik lagu tersebut yang menggunakan nama Aiman itu orang lain tapi sebenarnya abang Zul lah orangnya.

“Saya pun tanya dengan dia apa prosedur untuk nak buat lagu. Pada awalnya dia tak bertanya jika saya ada lagu ciptaan sendiri,” katanya.

Tambah Asya’B, dia sangat mengagumi Zul kerana semua karya ciptaan komposer tersebut merupakan lagu kegemarannya.

“Sejujurnya, saya ingat abang Zul ini hanyalah seorang penyanyi yang popular dengan lagu Kau Mawarku saja.Tapi bila dia sendiri mengaku yang dia juga antara pencipta lagu dan banyak hasil karyanya popular, saya memang gembira sangat-sangat!

“Selepas beberapa hari, abang Zul bertanya kepada saya kalau ada lagu ciptaan sendiri. Jadi, saya pun berikan lagu Sayang Padamu yang saya sendiri tulis ketika berusia 16 tahun.

“Saya menyanyikan secara akustik menggunakan gitar. Alhamdulillah abang Zul sukakan lagu tersebut dan dia buatkan sebuah demo yang cukup indah untuk saya,”katanya.

Selain itu, Asya’B yang merupakan seorang guru besar di sebuah tadika di Singapura berkata, dia tetap akan meneruskan minatnya itu meskipun berdepan dengan cabaran persaingan artis muda lain.

“Saya sudah bergelar seorang tenaga pendidik sejak sekitar 15 tahun lalu. Walaupun saya meminati muzik tetapi bidang pendidikan juga adalah jiwa saya.

“Dari kecil saya sudah mula tunjukkan minat dalam muzik. Di peringkat sekolah pun saya sering masuk pertandingan dan pernah menangi Gold With Honours di Singapore Youth Orchestra (SYF) pada 2005 sebagai pemain alat muzik trombone.

“Saya juga berkebolehan bermain gitar. Saya akui pasaran muzik di Singapura agak tinggi. Di Malaysia pula saya nampak peluang yang sangat luas sebab pasarannya agak besar,” katanya yang menembusi kategori Nova Media Baru di Anugerah Planet Muzik 2012.

Asya’B juga lebih awal menyaynyikan semula lagu-lagu penyanyi asal dan berkongsi di saluran Youtube sejak 2006.

Malah, dia juga percaya dengan kemajuan teknologi media sosial yang sedikit sebanyak membantu dari segi pemasaran seseorang artis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN