25 negara sertai Festival Filem Asia Pasifik ke-61 - Utusan Malaysia

25 negara sertai Festival Filem Asia Pasifik ke-61

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG : Sebanyak 25 buah negara dijadual bakal menyertai Festival Filem Asia Pasifik (APFF) yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah dalam penganjuran kali ke-61 ini.

Bakal berlangsung selama tiga hari bermula 29 November hingga 1 Disember depan di Wyndham Ion Majestic Hotel , Genting Highlands, APFF dilaksanakan dalam skala yang kecil namun tetap mengutamakan kualiti.

Menurut Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha, sebanyak 40 hingga 50 buah filem bakal dipertandingkan dalam anugerah yang mempertaruhkan sebanyak 21 kategori itu.

Jelasnya, persiapan dalam tempoh yang singkat juga bukan penghalang untuk Malaysia kerana sebelum ini negara juga pernah meraih pengalaman sebagai tuan rumah APFF sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada 2005.

“Pada mulanya Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA) ingin menangguhkan festival itu pada tahun ini.

“Tapi selepas perbincangan demi perbincangan, kami membuat keputusan untuk teruskan juga.

“Memang diakui persiapan sangat singkat tetapi kita akan pastikan majlis dapat berlangsung dengan lancar kerana kita pun tak undang ramai mungkin sekitar 500 tetamu saja,” katanya.

Pansha berkata demikian semasa ditemui pada majlis sidang media pengumuman APFF di sebuah hotel di Puchong, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman dan Pengerusi Penganjuran, Aaron Koh.

Sementara itu, Pansha menafikan acara itu diadakan dalam keadaan terburu-buru, berikutan pengumumannya dibuat kurang dua bulan dari tarikh penganjuran

“Kami yakin, majlis ini walaupun dianjurkan secara kecil-kecilan tetapi ia dapat memberi sumbangan kepada industri. Sebelum itu acara ini pernah ditangguhkan beberapa tahun berikutan pandemik, jadi kalau boleh kami tak mahu lagi tergendala.

“Tahun lalu acara ini diadakan di Macau tetapi serentak dengan Festival Filem Cina, tapi tahun ini Malaysia dipilih sebagai tuan rumah. Walaupun skala yang kecil tapi kita akan pastikan buat yang terbaik,” katanya.

Selain itu, Pansha berkata, FPA juga akan cuba mengundang pelakon terkenal Hong Kong sebagai tetamu pada acara itu nanti.

“Kami kini sedang berusaha mendapatkan tajaan kerana kami bercadang mengundang pelakon terkenal dari Hong Kong.

“Acara ini tidak mendapat suntikan dana kerana perancangan diadakan dalam tempoh yang sangat singkat, jadi tak sempat mohon apa-apa dana,” katanya.

Tahun ini, filem Seram Malaysia berjudul Indera lakonan Shaheizy Sam, Azira Shafinaz, Samara Kenzo, dipilih sebagai filem pembukaan APFF61.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya