KUALA LUMPUR : Penyanyi popular era 80-an, Zaiton Sameon, 68, mengakui, kini sibuk mengendalikan perniagaan sambal resipi tersendirinya sebagai satu cara untuk menambah pendapatan selain menyanyi.
Menurut penyanyi lagu Kabut Serangkai Mawar ini, dia juga semakin aktif menjalankan perniagaan itu sejak dua minggu lalu bersama anak angkatnya, Che Sikah Ismail, 48.
Malah, Zaiton berkata, dia bersyukur kerana perniagaan sambalnya itu semakin mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
“Alhamdulillah, rezeki menyanyi masih ada lagi. Cuma, saya fikir apabila dah ada modal untuk berniaga semula, lebih baiklah saya buat sebab saya pun suka memasak sejak dari dulu.
“Lagi pun, produk Sambal Bilis Petai Berapi Menaruh Harapan baru diperkenalkan ini adalah kegemaran saya yang suka makan petai,” katanya.
Zaiton berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis Anugerah Khas Anak Seni di Fiesta Belia Merdeka 2024, baru-baru ini.
Zaiton berkata, selain produk sambal bilis petai, dia juga menjual rendang daging dan rendang kerang yang boleh dibeli di platform atas talian pada harga berpatutan.
“Semua resipi masakan istimewa seperti sambal bilis petai dan rendang ini, saya warisi daripada arwah ibu. Jadi, saya harap kepada semua pembeli berpuas hati dan terima kasih menyokong.
“Harga jualan di pasaran memang berpatutan dan setakat ini sambutan diterima sangatlah baik kerana saya juga buat video di TikTok,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai anugerah yang diterimanya pada majlis berkenaan, Zaiton bersyukur kerana dirinya dihargai sekali gus menyaksikan satu pencapaian dalam kerjaya seninya yang sudah melewati lima dekad.
Pada tahun lalu, Zaiton pernah berhadapan masalah kewangan apabila kurang menerima tawaran menyanyi, selain mengalami masalah kesihatan selepas terjatuh di rumahnya.
Zaiton sebelum ini pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 serta mengakibatkan anak lelaki tunggalnya, Allahyarham Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.
Penyanyi lagu Kabut Serangkai Mawar itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala hingga koma dan menyebabkan dia juga hilang ingatan sementara.
Pada 14 November 2022 lalu, Zaiton juga menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.