KUALA LUMPUR : Kecantikan semula jadi yang dimiliki Siti Saleha, 34, mendapat perhatian warga Korea Selatan semasa pelakon tersebut hadir ke Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024, kelmarin.
Menggayakan gaun labuh berona kuning, Siti Saleha mudah menangkap perhatian banyak mata yang memandang sementelah pelakon ini juga memiliki darah campuran Melayu-Inggeris.
Menerusi tinjauan di aplikasi X, ramai kalangan pengguna media sosial memuji kecantikan adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam ini sehinggakan pelakon drama SeOfis itu menjadi tumpuan media Korea Selatan.
Ia dibuktikan menerusi penghasilan beberapa artikel mengenai dirinya yang menjadi tular dalam laman Naver.
“Pelakon Malaysia Siti Saleha mempunyai artikel yang tular dalam Naver! Semua puji busana dan kecantikannya di SDA (Seoul Drama Awards),” tulisnya.
Naver merupakan laman web popular di Korea Selatan dan mempunyai system enjin carian tersendiri seperti Google dan Yahoo.
Dalam masa sama, ada yang memuji penampilan Saleha yang kelihatan seperti watak Disney Beauty And The Beast iaitu Belle.
“Dres dan penampilan keseluruhannya kelihatan seperti Belle. Cantik,” kata pengikut.
“Saleha memang sangat cantik. Tumpang berbangga, dia layak dengan tumpuan ini,” ujar peminat.
“Siapa tahu satu hari nanti pengarah Korea akan memberikan tawaran berlakon kerana dia merupakan pelakon yang bagus,” komen pengikut lain.
Selain itu, Saleha juga dipuji menerusi cara layanannya dan kemesraannya menyapa peminat ketika acara karpet merah berlangsung.
Semalam, Saleha dinobatkan sebagai pemenang trofi Bintang Asia Terbaik pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 dan menganggap kemenangan tersebut bukan sahaja menjadi momen indahnya seorang tetapi satu pencapaian istimewa buat tanah air.
Saleha dicalonkan dalam kategori Bintang Asia Terbaik menerusi drama siri asal berjudul SeOfis yang disiarkan dalam platform digital Tonton.
Menerusi kategori tersebut, aktres berkenaan berjaya menewaskan lima lagi persaingan termasuk barisan pelakon dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.