KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama ‘berhibernasi’ daripada media sosial, bekas isteri pengarah terkenal, Syamsul Yusof, Ira Kazar, kini dilihat mula rancak berinteraksi dengan pengikutnya di Instagram.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram Story (igs), anak kepada pelakon Kazar Saisi ini dilihat banyak berceloteh dengan netizen tanpa menunjukkan riak wajah kesedihan melalui ruang soalan yang dibukanya di Instagram meskipun ramai tahu dia dan Syamsul baharu bercerai.
Bagaimanapun, ruang soalan yang dibuka adalah berhubung rutin dan tips tata cara penjagaan wajah daripada Ira tanpa menyentuh langsung mengenai isu peribadinya.
Menerusi perkongsian Ira di Igs, Ira juga dilihat tidak kekok berinteraksi dengan netizen termasuk mengakui dia juga tidak terkecuali pernah berdepan dengan masalah kulit wajah.
“Nak cakap tips, tak ada tips sangat. Kena rajin sahaja pagi dan malam. Lepas itu seminggu sekurang-kurangnya buat pengelupasan kulit dua tiga kali dan pakai krim tabir suria,”katanya.
Selain itu, Ira juga mendakwa dia turut mempunyai masalah lingkaran gelap di bawah mata.
“Awak rasa saya tak ada lingkaran gelap bawah mata? Nampak tak teruknya ini? Kalau bab ini saya memang tak ada tips.
“Pakailah krim mata macam mana pun. Tapi apa yang saya boleh kongsikan, pergilah buat rawatan wajah yang boleh kurangkan lingkaran gelap bawah mata ini.
“Saya pun ada masalah ini yang tak selesai- selesai sampai sekarang. Ia sangat ketara. Saya hadapi sajalah,”katanya.
Menerusi ruang pertanyaan yang dibuka Ira itu, ia sekali gus menunjukkan bahawa segelintir warganet menerima baik dirinya meskipun sebelum ini Ira hebat dikecam ramai termasuk dilabel sebagai penyondol suami orang.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik dilakukan Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Pada 16 Ogos lalu, Syamsul mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.
Susulan pernikahan tersebut, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul memfailkan perceraian sebelum mereka berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.