KUALA LUMPUR : Setelah melalui episod pahit apabila terpaksa mengumumkan pembatalan konsert Walkerworld Asia Tour Pt.1 pada 22 Jun lalu, DJ dan komposer terkemuka antarabangsa, Alan Walker mengesahkan bakal kembali ke Malaysia dengan misi baharu.
Melalui penganjuran konsert yang dinamakan Walkerworld Asia Tour Pt. II, Alan bakal menebus kehampaan peminat yang sebelum ini telah membeli tiket dan menunggu kehadirannya bagi membuat persembahan di sini.
Konsert kali ini menyaksikan Alan bakal menakluk KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan tarikh yang dijadualkan adalah pada 8 November ini.
Menariknya, menurut Alan, sebagai satu tanda komitmen buat para peminatnya di sini, dia juga nekad menampung sendiri kos untuk setiap keperluan persembahannya.
Ini termasuk standard keselamatan profesional, pembayaran kepada vendor tempatan, serta memberikan pengalaman konsert yang berharga untuk para peminatnya.
“Dari lubuk hati saya yang terdalam, saya mahu para peminat di Malaysia tahu yang mereka amat dihargai dan dihormati.
“Jika pihak lain gagal menghargai mereka, saya akan memastikan mereka menerima penghargaan itu. Ia bukan sekadar konsert, ia sebuah pelunasan janji, meneguhkan perhubungan dan tanda kasih sayang saya sebagai seorang anak seni yang ikhlas menghargai para peminat,”katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, pihak pengurusan Alan juga menjelaskan punca konsert sebelum ini dibatalkan kerana wujud beberapa isu yang tidak dapat dielakkan.
“Persembahan sebelum ini dibatalkan akibat faktor keselamatan yang kritikal dan isu penyalahurusan yang dikemukakan kepada kami menjelang tarikh persembahan. Laporan keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak ketiga, menegaskan masalah-masalah berhubung persediaan pentas.
“Vendor-vendor tempatan juga berdepan dengan isu-isu bayaran. Keputusan terpaksa dibuat dengan membatalkan persembahan tersebut demi mengutamakan keselamatan dan pengalaman para peminat serta mengelakkan kerugian lanjut dialami oleh vendor-vendor tempatan,”katanya.
Selain itu, menurut pengurusan Alan menerusi kenyataan yang sama, pihaknya juga telah meneliti kebimbangan keselamatan dan isu penyalahurusan yang dikemukakan dan disebabkan itu tarikh baharu konsert diumumkan kepada peminat.
Sementara itu, menyedari ramai pemegang tiket untuk persembahan Jun lalu masih menunggu kemas kini daripada penganjur sebelum ini berhubung pembayaran semula, Alan dan pengurusannya juga membuat keputusan untuk menggantikan mereka dengan tiket ke konsert baharu.
Malah, peminat juga ditawarkan dengan diskaun eksklusif 15% untuk rakan-rakan mereka yang ingin membeli tiket persembahan akan datang.
Terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Darkside, Faded, dan Alone, Alan antara DJ-penerbit terkemuka dunia serta telah berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi berprofil tinggi seperti Ava Max, Noah Cyrus, Sia, Bruno Mars, dan Coldplay. Album keempatnya yang juga terkini, Walkerworld, dilancarkan pada 2023.
Persembahan ini akan dipromosikan oleh Livescape, yang sebelum ini terkenal dengan penganjuran festival muzik seperti It’s The Ship dan Rockaway.