PUTRAJAYA: Pelawak dan anggota kumpulan Zero, Atu, meluahkan kekesalannya apabila mendapati wujud golongan pelawak dalam industri tanah air yang seakan tidak diberi perhatian meskipun ada antaranya benar-benar berbakat.
Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif berkata, golongan pelawak sepertinya hanya dipanggil apabila stesen televisyen tempatan mahu menjayakan pertandingan lawak atau untuk acara hiburan tertentu sahaja.
Disebabkan keadaan itu, Atu mengakui enggan lagi menyertai sebarang pertandingan dan hanya mahu berlawak demi menggembirakan orang ramai.
“Saya sudah malas bertanding dan penat bertanding. Terus-terang, saya penat sebab rasa tidak dihargai. Iyalah asal nak bertanding baru nak panggil kami, pelawak. Asal bertanding saja panggil pelawak.
“Banyak pelawak lain yang saya rasa berkebolehan tapi tidak diberikan peluang. Saya banyak juga program yang saya buat, cuma kawan-kawan yang lain. Saya terkilan dalam industri ini, kami dilayan sebegitu.
“Sebelum ini mungkin kami sertai pertandingan sebab fikir ganjarannya tapi sekarang kami lebih fikir untuk mahu berkarya dan cari pelapis.
“Kami sedar, selepas kami, tiada lagi pelawak yang betul-betul diterima terutamanya selepas Raja Lawak 6. Nanti bila satu zaman pelawak sudah tiada, baru rasa pelawak itu diperlukan,” katanya.
Selain itu, kata Atu, industri lawak pada masa kini juga sudah tidak sama seperti ketika pelawak Allahyarham Pak Yus masih hidup dan memeriahkan industri.
“Kebanyakan radio hanya ambil pelawak yang otai-otai, yang baru-baru ini tiada tempat langsung, kasihan. Macam saya selepas 10 tahun dalam industri baru orang kenal saya Atu Zero.
“Pelawak lain tiadalah mengadu tapi kita perasan perkara itu. Seperti di Indonesia program lawak bersepah dan komuniti mereka kuat. Dulu komuniti kita kuat, minta maaf cakap masa arwah Pak Yus ada mungkin kita dijaga dan bila dia tiada, kami seperti sudah bertebaran.
“Pak Yus, kalau ada ‘job’ yang dia tak boleh buat, dia serahkan pada yang lain. Dia tidak tinggal kawan. Itulah dia, dia pun ada tolong dulu.
“Saya tak cakap pelawak sekarang mementingkan diri, saya pun pentingkan diri tapi yang bujang mungkin boleh hidup sendiri, risau bagi yang sudah berkahwin bagaimana dengan komitmennya, kasihan. Tolonglah berikan mereka peluang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Atu teruja berkongsi Zero akan tampil dengan lagu pertama mereka yang diberi judul Tondu.
“Tondu itu membawa maksud ‘awek’. Jujurnya kami seronok nak keluarkan lagu ini. Lagu ini boleh dikatakan ada gaya seperti The Jackson 5,” katanya.