LOS ANGELES : Penyanyi rap, Cardi B berkongsi berita gembira mengenai kehadiran cahaya mata ketiganya yang baharu sahaja dilahirkannya di sebuah pusat perubatan pada Ahad lalu.
Perkara itu dikongsikan Cardi menerusi akaun Instagramnya hari ini.
Menerusi beberapa hantaran gambar, Cardi juga meluahkan rasa syukur dengan kehadiran anak perempuannya itu yang disifatkan sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.
“Perkara yang paling indah dalam hidup saya, 7 September 2024,” katanya.
Menerusi perkongsian tersebut, penyanyi lagu Up itu turut memuat naik foto bekas suaminya iaitu penyanyi rap Offset sedang memangku bayi di samping dua lagi cahaya mata mereka.
Rata-rata peminat berkongsi rasa teruja dan mengucapkan tahniah di atas kelahiran bayi berkenaan.
Pada Ogos lalu, Cardi memfailkan cerai terhadap suaminya sehari sebelum dia memaklumkan sedang hamil anak ketiga.
Peguam penyanyi rap berkenaan memaklumkan keputusan tersebut dibuat susulan masalah rumah tangga mereka yang berlarutan.
Pada September 2020, Cardi pernah memfailkan cerai terhadap Offset selepas anggota kumpulan Migos itu didakwa beberapa kali curang terhadapnya.