PETALING JAYA: “Saya sudah move on, itu hal mereka.”
Demikian kata pelakon Puteri Sarah Liyana, 39, yang enggan mengulas tentang bekas suaminya, pengarah, Syamsul Yusof yang baru sahaja bercerai dengan Ira Kazar, Khamis lalu.
Biarpun ada netizen yang menganggap pelakon wanita itu sudah menang, Sarah menyifatkan apa yang berlaku terhadap rumah tangga bekas suaminya sebuah takdir yang telah ditentukan oleh Sang Pencipta.
“Itu mereka yang berkata. Saya anggap ini adalah takdir dan itu bukanlah satu kemenangan sebab saya sudah tidak ada kena mengena lagi dalam cerita ini. Dah lama dah saya tak ada dalam cerita ini. Jadi, saya tak nak beri komen lebih-lebih sangat,” katanya.
Sarah berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media program realiti, Muzikal Lawak Superstar musim keempat di sini, hari ini.
Sarah yang enggan dikaitkan lagi dengan Syamsul menegaskan dia mahu teruskan kehidupannya dengan tenang dan tidak mahu ada kena mengena lagi dengan penerbit filem Mat Kilau itu.
“Berbadan dua cari saya, cerai cari saya. Saya dah setahun lebih dah move on. Saya tak nak ada kena mengena dah dalam hal ini. Itu hal mereka.
“Saya dah ada kehidupan baru. Bahagian mereka pun sudah berakhir. Jadi saya nak enjoy sahaja. Jangan kaitkan saya, kesian saya.
“Mereka punya masalah saya juga kena jawab, Datuk Yusof Haslam kena interview, Datin Fatimah kena interview,” tegasnya.
Pada 5 September lalu, Syamsul dan Ira telah sah bercerai dengan talak satu selepas disahkan berlakunya pelanggaran lafaz taklik sebanyak lima kali sepanjang mereka bergelar suami isteri.
Dalam perkembang lain, Sarah bakal menyertai program realiti, Muzikal Lawak Superstar musim keempat bersama kumpulannya, Mamak Puteh dengan Ilham Abata yang dikenali sebagai Gebu.