Saya kena sediakan duit pendidikan untuk anak dari sekarang - Lufya - Utusan Malaysia

Saya kena sediakan duit pendidikan untuk anak dari sekarang – Lufya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Lufya Omar, 39, mendedahkan, tujuan dirinya membuat tuntutan mutaah terhadap bekas suaminya, Dr Che Hafiz, adalah bagi membuat persiapan awal untuk anak tunggal mereka, Laana Haura, 7, memasuki universiti apabila dewasa kelak.

Bagaimanapun bagi mengelak salah faham, Lufya menjelaskan, tindakan menuntut mutaah itu terpaksa dilakukannya setelah mendapati bekas suami gagal membayar nafkah serta tidak memberikan perhatian kasih sayang terhadap anak mereka sebaiknya.

“Mutaah ini, saya tuntut setelah perbincangan banyak kali dan kerjasama dari pihak sana gagal memberikan nafkah anak dengan jumlah yang sewajarnya diberikan.

“Saya sudah pernah menarik saman nafkah anak untuk tujuan penyelesaian di luar mahkamah sebelum ini. Janji saya pada bekas suami, jika dia bayar nafkah anak dan berikan kasih sayang serta perhatian pada anak, saya tidak akan tuntut apa-apa.

“Jika sebaliknya, saya akan tuntut hak saya juga. Dia degil, jadi kita teruskan saman,”katanya menerusi hantaran di Instagram, hari ini.

Selain itu, Lufya menjelaskan, laporan sebuah portal mengenai isu tuntutan mutaah itu juga kerana mahu membuat persiapan awal tabung pendidikan Haura.

“Cerita anak saya nak jadi doktor ini pun keluar sebab saya beritahu media saya kena sediakan duit pendidikan untuk anak dari sekarang.

“Bukan sedikit kos untuk belajar kedoktoran. Adik saya juga seorang doktor pakar jadi kami tahu kisnya besar. Saya niatkan hak mutaah saya ini untuk anak. Ini kerana anak adalah amanah besar,”katanya.

Sementara itu, di ruangan kapsyen, Lufya berkata, dia perlu melakukan penjelasan ini supaya tidak wujud salah faham berlarutan.

Malah, katanya, isu ini sudah berlaku sejak empat tahun lalu dan sebolehnya dia mahu menutup buku lama dalam hidupnya.

“Saya nak tutup buku pun buku lama asyik terbuka sahaja. Semoga dipercepatkan urusan di mahkamah dan masing-masing boleh hidup dengan damai,”katanya.

Lufya sebelum ini memfailkan tuntutan mutaah sebanyak RM1 juta dan kes tersebut masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Untuk rekod Lufya dan Dr Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 namun bercerai pada 17 Jun 2020.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Haura, yang kini berusia tujuh tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya