KUALA LUMPUR : Pelakon, Ammar Alfian, mendedahkan perasaan kurang senangnya terhadap golongan pempengaruh berbadan gemuk berikutan rata-rata mereka membawa agenda ‘fat positivity’ untuk mempengaruhi pengikut mereka di media sosial.
Menerusi hantaran di TikTok, aktor berusia 37 tahun itu menegaskan, individu yang membawa pemikiran sedemikian tidak sepatutnya memberi pengaruh kepada pihak luar.
“Saya ada masalah dengan individu gemuk yang mengetengahkan agenda ‘fat positivity’ kepada orang ramai.
“Kepada ‘fatfluencer’, kalau awak nak buat perkara itu untuk diri awak sendiri tak mengapa. Tapi jangan mempengaruhi orang lain.
“Orang ramai mahu hidup sihat tapi awak kata ‘tak apalah, sayangi badan gemuk awak itu’,” katanya.
Selain itu, aktor tersebut turut menyifatkan mana-mana pempengaruh yang cuba menerapkan fahaman atau nilai berkenaan perlu dihentikan.
“Cakap sahaja awak itu pemalas, awak tak perlu untuk tarik semua orang bersama awak. ‘Fat positivity’, ia tidak sihat kan? Tapi awak kata ia sihat. Adakah ia mesej yang baik untuk disebarkan?” katanya.
Dalam masa yang sama, Ammar atau pemilik nama sebenar Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri berkata, generasi sekarang sangat berbeza dengan dahulu.
“Dulu boleh panggil orang lain gemuk. Sekarang semua orang macam takut.Saya bagi contoh situasi, kalau dulu kena pukul dengan cikgu, kita takut nak beritahu ibu bapa.
“Semasa darjah 6, saya pernah kena pukul dengan cikgu dan dia guna tali pinggang. Kita akan dipukul lagi kalau beritahu ibu dan bapa,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet setuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon Paskal terbabit.